Milan: Scott McTominay menjaringkan dua gol ketika juara bertahan Napoli bangkit dua kali ketika seri 2-2 menentang pendahulu Serie A, Inter Milan, di San Siro, awal pagi tadi.
Inter hampir membalas dendam selepas tewas 1-3 di Naples awal musim ini, dan kemenangan akan melebarkan jurang di tangga teratas liga, namun Napoli enggan menyerah kali bagi memastikan mereka terus relevan dalam perebutan kejuaraan.
Inter kini meraih 43 mata, tiga mata di hadapan AC Milan yang seri 1-1 dengan Fiorentina lebih awal, manakala Napoli di tangga ketiga dengan 39 mata.
“Kami bermain dengan mantap dan tetap fokus,” kata kapten Napoli, Giovanni Di Lorenzo kepada wartawan.
“Kami gembira dengan keputusan seri ini kerana ia datang selepas ketinggalan dua kali.”
Selepas tekanan awal Napoli, Inter mendahului pada minit ke-9 selepas pasukan lawan kehilangan bola di tengah padang. Marcus Thuram meluru ke hadapan sebelum melepaskan hantaran kepada Federico Dimarco di dalam kotak penalti, yang melepaskan rembatan rendah dari sudut sukar.
Inter mula meningkat asakan manakala Napoli bergelut untuk keluar dari separuh padang sendiri dalam tempoh yang lama tetapi akhirnya menyamakan kedudukan pada minit ke-26.
Hantaran Eljif Elmas ke dalam kotak penalti disambut McTominay yang melepasi kawalan Manuel Akanji sebelum menolak bola mengatasi Yann Sommer.
“Kami bermula dengan baik, kemudian agak terlalu berhati-hati selepas gol, tetapi kami kembali ke dalam perlawanan dan separuh masa kedua menjadi akan sengit,” kata Elmas kepada DAZN ketika rehat.
Napoli mendapat beberapa peluang selepas separuh masa kedua dengan percubaan Rasmus Hojlund sedikit tersasar, manakala tandukan Di Lorenzo melepasi palang gol.
Inter dianugerahkan sepakan penalti selepas Amir Rrahmani menjatuhkan Henrikh Mkhitaryan, dan jurulatih Napoli, Antonio Conte dilayangkan kad merah kerana reaksi marahnya terhadap keputusan pengadil.
“Saya tidak mengulas tentang kerja pengadil,” kata Di Lorenzo. “Pasukan tetap fokus dalam perlawanan dan dibalas dengan keputusan seri.”
Hakan Calhanoglu tidak membuat kesilapan dengan membawa Inter kembali mendahului menerusi penalti ketika perlawanan berbaki 17 minit. Namun, Napoli enggan mengalah, dan McTominay sekali lagi menyamakan kedudukan pada sembilan minit terakhir menerusi tandukan.
© New Straits Times Press (M) Bhd




