Paris: Deniz Undav menjaringkan dua gol ketika Jerman menewaskan Bosnia dan Herzegovina 2-1, awal pagi tadi sekali gus semakin hampir mara ke suku akhir Liga Negara-Negara manakala Belanda yang beraksi dengan 10 pemain sekadar seri 1-1 di Hungary.
Hantaran ke belakang bintang Bayer Leverkusen, Florian Wirtz berjaya disudahkan Undav untuk gol pertamanya selepas 30 minit permainan di Zenica.
Penyerang Stuttgart itu kemudian menjaringkan gol kedua apabila dia menampan hantaran silang Maximilian Mittlestaedt.
Bosnia bangkit semula ketika berbaki 20 minit apabila bekas penyerang Manchester City yang berusia 38 tahun, Edin Dzeko, menanduk masuk bola berpunca dari sepakan sudut untuk gol antarabangsa ke-67nya.
“Selepas mereka menjaringkan gol, keadaan menjadi lebih menarik, tetapi kami mengawalnya dengan baik,” kata Undav, yang baru membuat penampilan antarabangsa keduanya, kepada penyiar Jerman RTL.
Kemenangan itu menyaksikan Jerman meraih tujuh mata daripada tiga perlawanan, dua mata di hadapan Belanda, dengan kedua-dua pasukan gergasi itu akan bertemu pada Selasa ini di Munich.
“Kami menjaringkan terlalu sedikit gol berbanding peluang yang kami ada,” kata jurulatih Jerman, Julian Nagelsmann.
Di Arena Puskas di Budapest, pemain Hungary dan Belanda serta penonton bertafakur selama seminit untuk memperingati lagenda Belanda, Johan Neeskens, yang meninggal dunia minggu ini pada usia 73 tahun.
Hungary mendahului pada minit ke-32 apabila Roland Sallai menjaringkan gol dari jarak dekat selepas dibantu oleh Zsolt Nagy.
Ia adalah permulaan sempurna untuk jurulatih Hungary, Marco Rossi, yang mengendalikan pasukan kebangsaan buat kali ke-69.
Hungary dilihat berpeluang menewaskan Belanda dalam pertemuan pertama mereka sejak kekalahan 1-8 pada tahun 2013.
Peluang itu semakin cerah apabila bintang Liverpool, Virgil van Dijk dilayangkan kad merah pada minit ke-79.
Namun empat minit kemudian, Belanda membuat kejutan walaupun kekurangan seorang pemain apabila Denzel Dumfries menanduk masuk sepakan percuma dari Cody Gakpo.
“Walaupun dengan 10 pemain, kami cuba memberi tekanan kepada lawan. Saya memang fikir kami akan menjaringkan gol,” kata jurulatih Belanda, Ronald Koeman.
© New Straits Times Press (M) Bhd




