am@hmetro.com.my
Johor Bahru: Dua lelaki termasuk remaja mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen, di sini, hari ini atas tiga pertuduhan memperdagangkan tiga individu bagi tujuan eksploitasi kerja di Myanmar pada Disember 2024 dan Februari lalu.
Tertuduh, Jasper Yap En Wai, 20, dan Desmond Ang Wei Cheng, 18, membuat pengakuan itu di hadapan Hakim Siti Noraida Sulaiman selepas pertuduhan dibacakan dalam Bahasa Mandarin.
Mengikut pertuduhan, mereka berdepan dua pertuduhan secara bersama mencapai niat bersama memperdagangkan dua lelaki tempatan bagi maksud eksploitasi kerja dengan cara memperdaya.
Perbuatan itu dilakukan di sebuah restoran di Taman Maju Jaya, di sini, kira-kira jam 11 malam pada Disember tahun lalu hingga 14 Februari lalu.
Dalam prosiding di mahkamah sama, Jasper Yap turut berdepan satu lagi pertuduhan atas kesalahan memperdagangkan seorang lelaki warga tempatan bagi maksud eksploitasi kerja dengan cara memperdaya.
Kesalahan itu dilakukan di Yatai dalam daerah Shwekokko, Myanmar kira-kira jam 8 pagi hingga 1 pagi pada 7 Disember tahun lalu hingga 14 Februari lalu.
Kedua-dua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 12 Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 (Atipsom 2007) dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun dan boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya R Kodesviary, manakala Desmond Ang diwakili peguam Mohammad Muzzamil Mohammad Hairiri sementara Jasper Yap tidak diwakili peguam.
Kodesviary memohon tiada jaminan diberikan terhadap Jasper Yap kerana tertuduh juga berdepan pertuduhan mengikut seksyen sama di Mahkamah Sesyen Batu Pahat terhadap mangsa berlainan dengan jaminan RM20,000 bagi setiap pertuduhan.
Bagaimanapun, Kodesviary memohon ikat jamin RM60,000 ditawarkan bagi setiap pertuduhan jika mahkamah membenarkan jaminan mengikut budi bicara berserta syarat tambahan.
Mohamad Muzzamil dalam hujahnya memohon jaminan minimum diberikan terhadap anak guamnya kerana tidak mempunyai pendapatan dan menanggung keluarga.
Mahkamah kemudian menetapkan jaminan RM24,000 terhadap Jasper Yap bagi setiap pertuduhan dengan dua penjamin tempatan, manakala sebanyak RM15,000 dikenakan terhadap Desmond Ang untuk setiap pertuduhan dengan dua penjamin tempatan.
Mahkamah juga menetapkan syarat tambahan untuk melapor diri di balai polis berhampiran sebulan sekali, larangan mengganggu saksi sehingga kes selesai dan menyerahkan pasport kepada mahkamah.
Mahkamah kemudian menetapkan 21 Mei depan untuk sebutan semula.
© New Straits Times Press (M) Bhd




