Liverpool: Dua jaringan Beto membantu Everton mencatat kemenangan besar 3-0 ke atas Chelsea dalam aksi Liga Perdana Inggeris di Stadium Hill Dickinson, awal pagi tadi.
Kekalahan itu menyaksikan Chelsea tewas buat kali keempat berturut-turut dalam semua pertandingan.
Chelsea kekal di tangga keenam liga pada 48 mata selepas 31 perlawanan, manakala Everton naik ke tangga ketujuh dengan 46 mata, sekali gus menghidupkan peluang mereka untuk layak ke saingan Eropah musim depan.
Beto membuka jaringan pada minit ke-33 selepas menerima hantaran menarik daripada James Garner, yang mempamerkan aksi cemerlang selepas menerima panggilan pertama ke skuad England minggu ini.
Penyerang itu kemudian menambah gol kedua sejurus selepas sejam permainan apabila menewaskan penjaga gol Robert Sanchez menerusi rembatan yang melepasi celah kakinya.
Iliman Ndiaye melengkapkan kemenangan Everton dengan jaringan ketiga pada minit ke-76 menerusi rembatan lencong ke penjuru atas gawang.
Kemenangan itu adalah yang terbesar buat Everton ke atas Chelsea sejak tahun 1987, selain menjadi kali pertama mereka mencatat kemenangan berturut-turut di stadium baharu di tebing Sungai Mersey.
© New Straits Times Press (M) Bhd




