Dua kali cium hajarulaswad, ‘hadiah’ hari lahir paling bermakna di Tanah Suci

Dua kali cium hajarulaswad, ‘hadiah’ hari lahir paling bermakna di Tanah Suci

PADA saat ramai hanya mampu menyimpan angan-angan untuk menjadi tetamu ALLAH, petugas media Lembaga Tabung Haji (TH) daripada Sinar Harian, Nur Farhana Abdul Manan, dianugerahkan peluang menjejakkan kaki ke Tanah Suci pada musim ini.

Beliau ialah antara 19 petugas media TH yang membuat liputan bagi musim haji 1446H/2025M.

Lebih manis lagi apabila Nur Farhana atau mesra dengan panggilan Nell dalam kalangan rakan-rakannya dapat menyambut hari lahirnya di Tanah Haram itu pada Isnin.

Tidak pernah terlintas dalam jangkaan hidupnya untuk menyambut hari istimewa itu di Tanah Haram, sekali gus menjadi dhuyufurrahman bagi menunaikan Rukun Islam kelima itu.

“Sebaik sahaja diberitahu oleh Ketua Pengarang Kumpulan Sinar Harian, Zamri Rambli bahawa saya dipilih mewakili syarikat bagi membuat liputan berita sepanjang musim haji 1446 Hijrah sekali gus menunaikan ibadah haji, saya rasa bagaikan mimpi.

“Sejujurnya, saya tak pernah buat umrah sebelum ini. Dapat tawaran ini memang satu impian yang tak pernah dijangka. Saya sangat bersyukur kerana ALLAH SWT ‘memanggil’ saya datang mengunjungi rumah-NYA pada usia saya agak muda. Saya dengan penuh rasa kesyukuran menyambut seruan-NYA,” katanya kepada Sinar Islam Plus pada Isnin.

NUR FARHANA ialah antara 19 petugas media TH yang membuat liputan bagi musim haji 1446H/2025M. -Foto: IHSAN NUR FARHANA ABDUL MANAN

NUR FARHANA ialah antara 19 petugas media TH yang membuat liputan bagi musim haji 1446H/2025M. -Foto: IHSAN NUR FARHANA ABDUL MANAN

Bukan itu sahaja, peluang dapat mencium hajarulaswad sebanyak dua kali menjadi hadiah paling bermakna yang akan dikenang seluruh hidup Nur Farhana.

Masakan tidak, beliau kerap kali mengulang dalam doanya supaya dapat diizinkan untuk mencium ‘batu dari syurga’ itu dan memasang niat tersebut sejak berada di Madinah selepas diterbangkan pada 24 April lalu.

“Alhamdulillah, rezeki saya dapat cium (hajarulaswad) dua kali. Memang orang berasak dan berhimpit-himpit. Untuk sampai ke hajarulaswad, kaki ibarat tidak jejak lantai.

“Entah bagaimana, saya ditolak oleh orang belakang hingga sampai betul-betul di depan hajarulaswad,” imbasnya.

Nur Farhana yang juga Ketua Unit Media Sosial Sinar Harian turut mencoretkan momen berharganya ketika pertama kali melihat Kaabah yang menjadi kiblat seluruh umat Islam.

“Masya-ALLAH, kali pertama nampak Kaabah, hati terus sebak. Ia bagaikan melihat cinta pandang pertama. Saya rasa bagaikan mimpi berdiri di depan Kaabah.

“Macam tidak percaya ALLAH jemput saya ke sini. Masuk Masjidil Haram, terasa begitu kerdil diri ini. Bayangkan dalam ribuan manusia di situ, bila solat, rasa seperti hanya saya dengan Tuhan di situ,” ungkapnya.

Persiapan diri

Sebelum berangkat ke bumi barakah, Nur Farhana menceritakan usaha untuk mempersiapkan diri secara menyeluruh bukan hanya fizikal, tetapi juga aspek spiritual dan emosi.

Bukan hanya mengikuti kursus haji, banyak berdoa dan mendengar pengalaman jemaah terdahulu, beliau juga sentiasa melakukan solat hajat meminta agar ALLAH SWT memudahkan segala urusan untuk menjalankan melunaskan amanah dipertanggungjawabkan, di samping menyempurnakan Rukun Islam kelima.

NUR FARHANA (tiga, kanan) merakam kenangan bersama keluarga tersayang sebelum berlepas ke Madinah pada 24 April lalu. -Foto: IHSAN NUR FARHANA ABDUL MANAN

NUR FARHANA (tiga, kanan) merakam kenangan bersama keluarga tersayang sebelum berlepas ke Madinah pada 24 April lalu. -Foto: IHSAN NUR FARHANA ABDUL MANAN

“Saya juga perbanyakkan solat taubat supaya hati lebih tenang dan tidak rasa berat kerana perlu tunaikan dua tanggungjawab berkenaan.

“Dari segi fizikal pula, saya banyak berjalan dan jaga stamina sebab tahu ibadah haji sangat mencabar,” ujarnya yang bakal melaksanakan haji tamattu’ dan baru sahaja selesai menunaikan umrah pertama baru-baru ini.

Dalam kekangan tugas dan kepanasan cuaca, cerita beliau, apa yang dilihat di sekeliling menjadi sumber kekuatan dan keteguhan hatinya.

“Cuaca panas memang mencabar, tapi Alhamdulillah, perlahan-lahan saya sudah mula sesuaikan diri. Masa ibadah dan jadual pun sangat padat, jadi saya kena pandai susun waktu.

“Paling penting, kunci berada di Tanah Suci ini adalah sabar dalam apa jua keadaan kerana kita akan sentiasa berdepan ujian. Jika sabar dan reda, insya-ALLAH ada kemanisannya,” terangnya.

Suatu perkara menarik yang dikongsikan oleh Nur Farhana, walaupun tidur lewat dan perlu bangun awal di Tanah Suci, namun dirinya langsung tidak rasa mengantuk.

“Tidak seperti di tanah air, jika tidur lambat, mulalah asyik menguap pada waktu siang.

“Memang pelik walaupun zon waktunya lambat lima jam dari Malaysia, tapi langsung tak rasa ‘jet lag’ (gangguan ritma harian) ketika mula-mula sampai,” katanya.

Terkenang perjuangan Rasulullah SAW

Hampir dua minggu di Tanah Suci, Nur Farhana mengakui, dirinya begitu tersentuh setiap kali mengunjungi tempat-tempat yang pernah disinggahi oleh Rasulullah SAW atau mempunyai kaitan dengan sirah Nabi dan para sahabat.

NUR FARHANA (dua, kiri) terbang ke Madinah pada 24 April lalu dan dijangka pulang ke tanah air pada 16 hingga 20 Jun depan. -Foto: IHSAN NUR FARHANA ABDUL MANAN

NUR FARHANA (dua, kiri) terbang ke Madinah pada 24 April lalu dan dijangka pulang ke tanah air pada 16 hingga 20 Jun depan. -Foto: IHSAN NUR FARHANA ABDUL MANAN

Melihat semua itu membibitkan rasa insaf dalam sanubarinya apabila mengenangkan perjuangan Nabi Muhammad SAW menyebarkan dakwah dalam kawasan gurun, tidak banyak kemudahan, berpuasa dalam keadaan panas dan sebagainya.

“Melihat jutaan umat Islam berkumpul menunjukkan betapa besarnya pengorbanan Baginda hingga umat Islam dapat mempelajari dan mendalami suruhan Tuhan sebaiknya,” katanya.

Lebih mendatangkan keinsafan apabila melihat jemaah dari pelbagai negara berkumpul untuk satu tujuan iaitu mahu beribadah dan semata-mata ingin mendapatkan keredaan ALLAH SWT, ungkapnya.

“Ada yang datang berkerusi roda bersungguh-sungguh melakukan ibadah walaupun dalam keadaan kekurangan. Paling saya insaf bila melihat jemaah yang sudah berusia lanjut bersemangat melakukan tawaf dan sai kerana ia bukan mudah serta perlukan ketahanan fizikal yang tinggi.

“Paling menyentuh sanubari apabila melihat tukang cuci di kawasan Masjid Nabawi di Madinah dan Masjidil Haram di Makkah tekun melaksanakan tugas mereka walaupun di bawah terik mentari bagi memastikan kawasan berkenaan bersih untuk jemaah melaksanakan ibadah.

“Walaupun penat, mereka sentiasa mengukirkan senyuman dan memberikan salam kepada sesiapa sahaja yang ditemui,” ungkapnya.

NUR FARHANA (dua, kiri) tidak menyangka berpeluang mencium hajarulaswad sebanyak dua kali, sekali gus menjadi hadiah hari lahir paling bermakna buat dirinya. -Foto: IHSAN NUR FARHANA ABDUL MANAN

NUR FARHANA (dua, kiri) tidak menyangka berpeluang mencium hajarulaswad sebanyak dua kali, sekali gus menjadi hadiah hari lahir paling bermakna buat dirinya. -Foto: IHSAN NUR FARHANA ABDUL MANAN

Cabaran

Di sebalik momen indah itu, Nur Farhana turut berdepan dengan cabaran apabila beliau diuji dengan masalah kesihatan sehari sebelum ke Makkah.

“Saya demam di Madinah, rasa sedih juga kerana memikirkan badan tidak sihat untuk laksanakan umrah esoknya, namun saya tak berhenti doa. Alhamdulillah, esoknya sihat dan dapat tunaikan umrah dengan baik.

“Keletihan fizikal memang ada, adakalanya kaki lenguh dan badan lesu. Namun, bila fikirkan datuk dan nenek saya tunaikan haji ketika usia sudah lanjut membuatkan saya kuat semangat untuk melawannya.

“Bila rasa malas hendak beribadah, saya hanya fikirkan peluang untuk berada di Tanah Suci ini entah-entah hanya sekali seumur hidup. Jadi kena gunakan sebaiknya masa yang ada,” katanya.

Sebagai wakil media, beliau turut menyaksikan bagaimana jemaah Malaysia disenangi dan dihormati masyarakat di sana.

Cerita beliau, jemaah Malaysia sangat berdisiplin, ikut peraturan dan saling membantu, manakala pengurusan TH pula sememangnya cekap dari semua aspek termasuk bimbingan, kesihatan dan kemudahan lain.

“Paling saya kagum baik di Makkah atau Madinah, sesiapa sahaja tidak kiralah peniaga, tukang cuci atau pihak berkuasa tempatan Arab Saudi sebaik melihat bendera Malaysia yang dilekatkan pada tudung saya, mereka akan sebut ‘Malaysia, Malaysia’ dan ada yang sebut ‘Malaysia boleh’.

“Mereka hormat rakyat Malaysia kerana Kerajaan Arab Saudi sendiri sering beri pujian kepada jemaah Malaysia.

NUR FARHANA (dua, kanan) merakam kenangan ketika bersiap sebelum petugas media menunaikan umrah pertama baru-baru ini. -Foto: IHSAN NUR FARHANA ABDUL MANAN

NUR FARHANA (dua, kanan) merakam kenangan ketika bersiap sebelum petugas media menunaikan umrah pertama baru-baru ini. -Foto: IHSAN NUR FARHANA ABDUL MANAN

“Malah, mereka tersenyum gembira bila tahu kita ialah jemaah dari Malaysia. Ada dalam kalangan peniaga fasih berbahasa Melayu, mereka akan layan kita dengan mesra. Bahasa dituturkan mereka juga sopan dan lembut melayan kami,” ungkapnya.

Ujian ketakwaan

Meskipun belum lagi menunaikan ibadah haji ketika ini, Nur Farhana menjelaskan, berada di Tanah Haram itu membuka dimensi baru dalam kehidupannya, bukan hanya dari sudut keinsafan, tetapi juga pengharapan kepada rahmat Ilahi.

“Saya melihat perkara-perkara baik yang sentiasa diamalkan di tanah air akan berbalas di Tanah Suci.

“Satu lagi momen yang tidak dapat dilupakan apabila rakan sebilik (pengamal media lain) hairan disulami rasa kagum apabila apa sahaja menu yang saya sebutkan hari ini, esoknya disediakan oleh pihak pengurusan makanan di dewan makan.

“Ia sehinggakan mereka suruh saya sebut apa menu yang ingin mereka makan supaya doa tersebut turut makbul esoknya,” ceritanya.

NUR FARHANA (kanan) bersama rakan pengamal media wanita di Tanah Suci.

NUR FARHANA (kanan) bersama rakan pengamal media wanita di Tanah Suci.

Barangkali ramai orang bimbang untuk ke Tanah Suci kerana merasakan diri seorang pendosa dan ada juga yang menyangka Tanah Haram itu ialah tempat pembalasan dosa.

“Walaupun kita banyak dosa, kena cari ALLAH kerana DIA tetap sayang hamba-NYA apatah lagi yang mempunyai usaha untuk bertaubat.

“Masih ada masa untuk kita bertaubat dan tak boleh bersangka buruk kepada ALLAH kerana panggil kita ke Tanah Suci.

“Jika sesuatu berlaku kepada kita di Tanah Suci, itu bukan pembalasan. Sebaliknya ia mungkin ujian untuk menguji ketakwaan kita kepada-NYA. Bersangka baiklah kepada ALLAH SWT, DIA panggil kita datang (jadi tetamu-NYA), ALLAH sayang kita,” ujarnya.

Scroll to Top