Dua Kali Gagal Dalam Perkahwinan, Sharifah Aleya Tak Tolak Jodoh – “Siapalah Kita Nak Lawan Takdir”

Dua Kali Gagal Dalam Perkahwinan, Sharifah Aleya Tak Tolak Jodoh – “Siapalah Kita Nak Lawan Takdir”

Pelakon dan penyampai radio, Sharifah Aleya mengaku tidak menolak sebarang kemungkinan jika dia ditakdirkan bertemu dengan lelaki idaman sekali gus mendirikan rumah tangga pada masa akan datang.

Katanya, meskipun sudah dua kali gagal dalam perkahwinan, namun dia tidak serik untuk kembali bergelar isteri.

“Saya sangat sukakan kasih sayang. Tak adalah saya trauma, tak nak bercinta. Kalau Tuhan tentukan, ia berlaku. Siapalah kita untuk menolak takdir. Tapi buat masa ini, tiada yang melekat di hati,” katanya.

Aleya berkata demikian ketika ditemui pada sidang media konsert Aishah: 40 Chapters Of Love, baru-baru ini.

Ketika disoal sama ada dia lebih berhati-hati dalam perhubungan selepas ini, ibu kepada empat orang cahaya mata itu berkata, urusan jodoh akan diserahkan kepada keluarga dan adik-beradik untuk menilai.

“Insyaa-Allah. Kita manusia kan, mesti akan tersungkur, terjatuh, dan hadapi benda yang kita tak nak. Tapi kalau kita guna benda tu untuk belajar, okeylah. Saya tak tahu saya akan lebih berhati-hati ke tak sebab saya jenis senang sangat sangkut cinta.

“Tapi sebab itu sekarang saya fokuskan cinta tu pada keluarga yang memang ‘confirm’ ada dan tak akan ke mana-mana. Kalau ada yang lain datang, mungkin saya kena lebih berhati-hati atau serahkan sahaja pada adik-beradik saya sebab mereka dah macam… “Lepas ni, siapa nak datang kena lalui kami dulu!”. Ada filter,” jelasnya.

Dalam masa sama, Aleya menegaskan anak-anaknya juga cukup membantu ketika dia melalui proses perceraian.

“Anak-anak saya menggembirakan, saya sentiasa berkata, Allah sangat baik. Anak-anaklah yang akan mengingatkan kami dalam keadaan yang baik. Alhamdulillah sekarang saya dapat menghabiskan lebih banyak masa dengan mereka.

“Mereka sangat mudah menyesuaikan diri. Yang kembar sedang menduduki Sijil Pelajaran Malaysia tahun ini, jadi tidak ada masa untuk drama keluarga. Manakala dua anak lelaki saya mahu jadi pemain bola sepak,” ujarnya.

Terdahulu,  Sharifah Aleya atau nama lengkapnya, Sharifah Aleya Syed Zainal Rashid Al-Yahya, 44, mengumumkan sudah bercerai dengan suami, Mohammad Azam Abdullah.

Menerusi perkongsian di Instagram, Aleya berkata pengumuman itu dibuat menandakan berakhirnya tempoh iddah bersama bekas suami yang juga dikenali sebagai Miko.

Sekadar info, Aleya dan Miko mendirikan rumah tangga pada Januari 2013 dan dikurniakan dua cahaya mata iaitu Ali Abdullah dan Ahyan Abdullah.

Pada Disember 2007, Aleya pernah berkahwin dengan Muhd Ashraf Aasimuddin dan berpisah pada Februari 2012.

Hasil perkahwinan, pasangan itu dikurniakan anak kembar, Aza Ameena dan Asha Ameena, kini berusia 17 tahun.

 

Scroll to Top