Dua kampung di Hulu Terengganu mula banjir, 53 huni PPS

Dua kampung di Hulu Terengganu mula banjir, 53 huni PPS

am@hmetro.com.my

Kuala Berang: Hujan berterusan sejak semalam mengakibatkan Kampung Lubuk Periuk dan Peneh dilanda banjir gelombang kedua, hari ini.

Penduduk, Puteri Sanura Abdul Majid, 33, berkata, dia berpindah ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) pada 4.30 petang selepas rumahnya ditenggelami air.

“Saya terpaksa meredah banjir lebih 0.5 meter bersama tiga anak untuk ke PPS. Rutin ini yang perlu dilalui saban tahun.

“Kedudukan rumah di kawasan rendah, berhampiran sungai sememangnya terdedah dengan bencana banjir,” katanya.

Jirannya, Rusnani Mohd, 64, memaklumkan rumahnya mula dinaiki air pada tengah hari dan biasanya akibat limpahan air sungai selepas hujan tanpa henti.

Dia yang turut berpindah ke PPS yang disediakan mengakui sudah terlalu biasa menghadapi banjir pada musim tengkujuh yang akan berlaku dalam beberapa gelombang.

“Biasanya dua atau tiga gelombang banjir akan berlaku saban tahun dan saya sudah membuat persiapan awal kerana sudah menjadi rutin setiap kali musim Monsun Timur Laut (MTL) akan mengakibatkan banjir,” katanya.

Seorang lagi penduduk, Abdul Rasek Ali, 69, berkata, rumahnya tenggelam hampir satu meter.

“Saban tahun dua atau tiga kali dia akan berpindah ke PPS berikutan kedudukan rumah berhampiran Sungai Peneh. Fenomena ini sudah biasa buat kami kerana sejak kecil sudah terdedah banjir,” katanya.

Sementara itu, Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Terengganu berkata, dua PPS dibuka di daerah Hulu Terengganu iaitu di Bangunan PPS Kampung Lubuk Periuk yang dibuka pada 4.30 petang bagi menempatkan lapan mangsa (2 keluarga).

Sebuah lagi PPS di Masjid Kampung Peneh yang ketika ini mempunyai 45 mangsa daripada 16 keluarga, menjadi keseluruhan 53 mangsa menghuni di PPS di Hulu Terengganu.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top