mdroji@bh.com.my
Kuching: Dua kanak-kanak yang dilaporkan hilang di Kampung Pasir Pandak, Santubong, di sini, ditemui selamat pagi ini.
Humaira Qalesya Mohd Dir dan NurAshafieya Aisyah Abd Nasri Asrafie masing-masing berusia lima tahun ditemui di lokasi kira-kira tiga kilometer dari rumah nenek mereka.
Wakil Ketua Polis Daerah Kuching, Deputi Superintendan Zamry Ali berkata, kedua-dua kanak-kanak bersaudara itu ditemui sedang duduk di atas batu dalam keadaan kesejukan.
“Syukur kedua-duanya ditemui dengan selamat. Polis ingin mengingatkan orang ramai supaya tidak membiarkan anak-anak bermain di dalam parit, air kecil tapi deras, jangan tunggu sampai jadi musibah.
“Operasi hari kedua yang dilaksanakan sejak jam 8 pagi tadi dihentikan serta-merta susulan penemuan kedua-dua mangsa,” katanya.
Sementara itu, bapa salah seorang mangsa, Abdul Nasri Asrafie berkata, dia percaya terdapat unsur misteri dalam kehilangan anaknya.
“Ada anggota pasukan penyelamat yang menemui mereka tadi bertanya macam mana mereka boleh berada di lokasi itu.
“Mereka kata anak saya memberitahu ada ‘kakak’ membawa mereka ke sana, tetapi mereka tidak mengenalinya,” katanya.
Mereka kemudian dihantar ke Hospital Umum Sarawak untuk pemeriksaan lanjut.
Dua kanak-kanak perempuan itu dilaporkan hilang di Kampung Pasir Pandak, sejak pagi semalam.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak berkata, kehilangan mangsa disedari selepas tidak pulang ke selepas bermain di rumah nenek mereka.
Menurutnya, berdasarkan keterangan keluarga, kedua-duanya dilihat kali terakhir sekitar 9 pagi ketika bermain bersama sepupu.
“Lokasi rumah nenek mereka hanya terletak kira-kira 50 meter dari kediaman keluarga kanak-kanak terbabit.
“Bapa salah seorang mangsa menyedari dua kanak-kanak itu hilang kira-kira jam 11 pagi apabila mendapati mereka tidak berada di tempat mereka bermain,” katanya.
Selepas menyedari kehilangan mereka lebih 70 penduduk kampung melancarkan operasi mengesan sebelum meminta pasukan bomba dan polis.
© New Straits Times Press (M) Bhd




