Dua kapal tangki minyak terbakar ketika belayar laluan haram Selat Hormuz

Dua kapal tangki minyak terbakar ketika belayar laluan haram Selat Hormuz

TEHERAN: Kor Pengawal Revolusi Iran pada Selasa berkata bahawa periuk api laut dipasang pasukannya menyebabkan dua kapal tangki minyak terbakar dan terpaksa menghentikan pelayaran ketika cuba melalui Selat Hormuz menggunakan laluan yang dianggap menyalahi undang-undang oleh Teheran.

“Dua kapal tangki minyak yang melanggar peraturan telah terbakar dan terpaksa dihentikan akibat letupan periuk api dipasang oleh anggota berani Tentera Laut Kor Pengawal Revolusi Iran (IRGC) di laluan haram di bahagian selatan Selat Hormuz,” menurut kenyataan Pengawal Revolusi itu di laman web rasmi Sepah News.

Sejak perang di Asia Barat tercetus, tentera Iran berulang kali menyasarkan kapal yang cuba melalui Selat Hormuz menggunakan laluan selatan berhampiran pantai Oman.

Memuatkan artikel berkaitan…

Konflik itu bermula pada 28 Februari apabila Amerika Syarikat (AS) dan Israel melancarkan serangan terhadap Iran, mengorbankan pemimpin tertinggi negara itu, Ayatollah Ali Khamenei, bersama beberapa komander kanan tentera.

Iran cuba menyekat laluan perairan strategik itu dengan mewajibkan semua kapal mendapatkan kebenaran sebelum melaluinya. 

Ketika aman, Selat Hormuz menjadi laluan bagi kira-kira satu perlima bekalan minyak dunia.

Washington  pula mengenakan sekatan balas terhadap pelabuhan Iran.

Pada Isnin, Menteri Luar Iran, Abbas Araghchi sekali lagi menyalahkan Washington atas ketidakamanan di selat berkenaan.

Serangan terhadap kapal yang cuba melalui laluan perairan itu meningkat sejak beberapa hari kebelakangan ini.

Ia berlaku ketika Washington berusaha mengiringi lebih banyak kapal merentasi selat berkenaan, manakala Teheran cuba mengekalkan kawalan terhadap laluan itu.

Kor Pengawal Revolusi turut berkata, pihaknya menembak jatuh sebuah dron MQ-9 Reaper milik AS.

Pada Isnin, Kor Pengawal Revolusi berkata, sebuah kapal tangki minyak terbakar selepas terkena periuk api, manakala sehari sebelumnya, pasukan itu mendakwa dua lagi kapal tangki minyak terkena periuk api. – AFP

Scroll to Top