Dua kapal tentera AS singgah ke Pulau Pinang untuk urusan logistik, hanya persinggahan pelabuhan – Mohamed Khaled

Dua kapal tentera AS singgah ke Pulau Pinang untuk urusan logistik, hanya persinggahan pelabuhan – Mohamed Khaled

suharmin.yusuf@hmetro.com.my

Butterworth: Dua kapal tentera laut Amerika Syarikat (AS) yang berlabuh di North Butterworth Container Terminal (NBCT), di sini, pada Sabtu hingga Isnin lalu, hanya port of call (persinggahan pelabuhan) untuk urusan logistik sebelum meneruskan pelayaran.

Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, memaklumkan bahawa kehadiran sementara kapal tentera asing di pelabuhan Malaysia sudah lama diamalkan sebagai sebahagian hubungan pertahanan dan pelayaran antarabangsa.

Menurutnya, kapal yang dimaksudkan ialah USS Santa Barbara (LCS 32) dan USS Tulsa (LCS 16).

Port of call ialah sebahagian daripada aktiviti diplomasi pertahanan bagi meningkatkan keyakinan (confidence building) serta memelihara kedaulatan dan keutuhan wilayah negara.

“Tujuan utamanya adalah bagi membolehkan kapal melaksanakan urusan logistik seperti ulang bekal, penyelenggaraan ringan serta peluang berehat untuk anak kapal.

“Malaysia mempunyai prosedur dan dasar yang jelas berkaitan kehadiran kapal tentera laut asing di pelabuhan komersial atau pangkalan laut,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, semua permohonan berlabuh di pelabuhan Malaysia mesti disalurkan melalui saluran rasmi dan mendapat kelulusan kerajaan.

Katanya, persinggahan sebegini juga kerap berlaku melibatkan kapal tentera laut dari pelbagai negara, termasuk rakan dan negara berkepentingan, yang melalui Selat Melaka atau Laut China Selatan.

“Ia bagi tujuan eksesais dua hala atau pelbagai hala serta misi antarabangsa dalam memastikan kestabilan serantau dan keamanan sejagat seperti yang digariskan dalam Kertas Putih Pertahanan,” katanya.

Dalam pada itu, Mohamed Khaled berkata, sepanjang tahun lalu, Malaysia menerima sebanyak 75 kunjungan kapal tentera laut asing dari 14 negara melalui persinggahan pelabuhan (port of call).

Katanya, antaranya ialah Australia, Bangladesh, Britain, Brunei, China, India, Indonesia, Itali, Jepun, Kanada, Korea Selatan, Perancis, Singapura dan AS.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top