KUALA LUMPUR: Dua sahabat dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan cuba merompak barang kemas bernilai RM8.2 juta, bulan lalu.
Bagaimanapun, tertuduh, seorang jurujual, Tan Kah Seng, 35, dan seorang mekanik, Tan Chien Ann, 30, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan itu dibacakan di hadapan Hakim Noor Aini Yusof.
Mengikut pertuduhan, mereka didakwa bersama-sama melakukan cubaan merompak tiga beg sandang berisi barang kemas pelbagai jenis dan bentuk dengan anggaran bernilai RM8.2 juta milik Toung Zheng Fay, 30, sebagai pembekal.
Memuatkan artikel berkaitan…
Perbuatan itu dilakukan dengan bersenjatakan sebilah parang, di hadapan sebuah hotel di Brickfields, pada pukul 10 pagi, 14 Oktober lepas.
Pendakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 393/397 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama.
Seksyen 393 memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun dan boleh dikenakan denda manakala Seksyen 397 membawa hukuman penjara boleh sampai 14 tahun dan boleh dikenakan denda atau sebat, jika sabit kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya, Syafika Azwa Fikri tidak mencadangkan sebarang jaminan memandangkan kesalahan itu tidak boleh dijamin, selain mengambil kira nilai barangan kemas yang tinggi.
Bagaimanapun, peguam bela, Revin Kumar yang mewakili kedua-dua tertuduh memohon mahkamah membenarkan jaminan atas alasan anak guamnya mempunyai tanggungan keluarga termasuk anak dan ibu bapa.
“Kedua-dua tertuduh juga akan mematuhi syarat-syarat tambahan yang ditetapkan mahkamah sekiranya ada,” katanya.
Mahkamah kemudian membenarkan jaminan sebanyak RM15,000 dengan seorang penjamin bagi setiap tertuduh beserta syarat tambahan lapor diri di balai polis berhampiran sekali sebulan serta tidak mengganggu mangsa dan saksi pendakwaan.
Kes ditetapkan untuk sebutan semula bagi serahan dokumen pada 30 November ini. – UTUSAN




