SEREMBAN: Taman Tasik Seremban bakal kembali meriah apabila Cabaran Ngail Nismilan 2025 menghimpunkan ratusan kaki pancing dari seluruh negara pada Ahad ini, 3 Ogos.
Pertandingan yang dinanti-nantikan itu kembali mewarnai kalendar pelancongan selepas dua tahun tidak dianjurkan, dan akan berlangsung dari pukul 8.30 pagi hingga 12.30 tengah hari.
Acara berprestij ini dianjurkan oleh Majlis Bandaraya Seremban (MBS) dengan kerjasama NS Events, serta mendapat sokongan penuh daripada Tourism Malaysia, bersempena sambutan Tahun Melawat Malaysia 2026 dan Tahun Melawat Negeri Sembilan 2026.
Menurut Datuk Bandar Seremban, Datuk Masri Razali, penganjuran acara ini bukan sekadar pertandingan memancing, malah menjadi wadah memupuk hubungan kekeluargaan, mempromosikan gaya hidup sihat serta menyemarakkan pelancongan berasaskan komuniti.
“Tahun ini, tumpuan utama diberikan kepada cabutan bertuah berupa dua keping emas tajaan MBS, masing-masing bernilai RM5,000. Jumlah keseluruhan bernilai RM10,000 ini pasti menjadi rebutan kaki pancing yang bertuah,” katanya.
Selain cabutan emas, pertandingan memancing ini turut menawarkan hadiah wang tunai keseluruhan berjumlah RM11,000 menerusi konsep “Hadiah Sapu Bersih”, termasuk RM4,000 untuk juara, RM1,000 bagi tempat kedua, dan RM500 untuk tempat ketiga. Hadiah wang tunai juga ditawarkan sehingga ranking ke-100, sebagai insentif kepada semua peserta.
Yuran penyertaan hanya RM40 bagi satu joran dua mata.
Pertandingan ini terbuka kepada semua spesies ikan yang berjaya dipancing, termasuk patin, rohu, tongsan, lampam, tilapia, keli, puyu dan baung — menjadikan saingan lebih terbuka dan adil buat semua peserta.
Masri turut menyatakan bahawa penganjuran ini seiring dengan usaha penjenamaan semula Taman Tasik Seremban sebagai destinasi rekreasi dan pelancongan utama di bandar raya.
“Selain Taman Tasik Seremban, pengunjung juga boleh menikmati pelbagai lokasi menarik lain seperti Muzium Negeri Sembilan, Kompleks Budaya, serta menjelajah cita rasa unik warisan makanan tempatan di Seremban Street Food,” tambah beliau.
Sebagai persiapan menjelang acara, hampir 200 kilogram ikan baung seberat antara 600 gram hingga dua kilogram telah dilepaskan ke dalam tasik menerusi satu majlis pelepasan ikan khas yang berlangsung semalam.
Pendaftaran peserta boleh dibuat di lokasi pertandingan pada Sabtu, 2 Ogos dari pukul 3 petang hingga 7 malam, manakala pada hari pertandingan, kaunter pendaftaran akan dibuka dari pukul 6.30 pagi hingga 10 pagi.
Caption gambar.