Dua konco along diberkas, polis rampas emas, kad ATM

Ipoh: Polis menahan dua lelaki tempatan bagi membantu siasatan kegiatan pemberi pinjaman wang tanpa lesen (along) serta pemilikan dan penggunaan kad mesin juruwang automatik (ATM) milik orang lain melalui operasi Ops Vulture di Teluk Intan, semalam.

Ketua Polis Daerah Hilir Perak Asisten Komisioner Chua Kok Lian berkata, suspek pertama ditahan di mesin ATM sebuah bank semasa melakukan pengeluaran wang.

Menurutnya, pemeriksaan lanjut menemui dua kad ATM dipercayai milik orang lain serta wang tunai RM300.

“Siasatan awal terhadap suspek membawa kepada pemeriksaan di sebuah premis pinjaman wang di Jalan Ah Cheong, Teluk Intan. Seorang lagi lelaki turut ditahan,” katanya hari ini.

Chua berkata, rampasan membabitkan wang tunai RM300, lima kad ATM pelbagai bank, rantai emas seberat 0.6 gram dan 3.2 gram serta sekeping loket disyaki emas seberat 0.5 gram dengan nilai keseluruhan dianggarkan RM2,050.

Beliau berkata, polis memperoleh perintah reman terhadap dua suspek itu hingga esok bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 420 dan Seksyen 424 Kanun Keseksaan.

Selain itu, Chua menasihatkan orang ramai supaya tidak sewenang-wenangnya menyerah atau membenarkan kad ATM digunakan individu lain walaupun ditawarkan ganjaran.

“Penyalahgunaan akaun dan kemudahan perbankan bagi tujuan jenayah menyebabkan individu yang terlibat boleh dikenakan tindakan undang-undang,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top