am@hmetro.com.my
Bukit Kayu Hitam: Cubaan menyeludup hampir 100 tan beras gagal susulan operasi penguatkuasaan Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS) di Kompleks Imigresen, Kastam Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) di sini, semalam.
Komander AKPS Bukit Kayu Hitam, Senior Asisten Komisioner Mohd Nasarudin M Nasir berkata, hasil risikan pihaknya memeriksa dua lori kontena di laluan masuk Blok E3 yang mendapati ia membawa beras tanpa sebarang pengisytiharan dari negara jiran.
Katanya, beras itu disembunyikan di dalam bahagian belakang kontena, bertujuan mengelirukan pihak berkuasa ketika pemeriksaan.
“Terdapat 49,950 kilogram (kg) beras dalam setiap lori menjadikan jumlah keseluruhan beras yang cuba diseludup hampir 100 tan bernilai RM639,400.
“Kes disiasat mengikut Akta Kawalan Padi dan Beras 1994 (Akta 522) yang membabitkan Seksyen 20 iaitu kuasa rampasan dan Seksyen 21 iaitu pelucuthakkan.
“Kesemua beras dirampas, manakala kenderaan disita. Maklumat berkaitan ejen atau syarikat terlibat masih dalam siasatan, ” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mohd Nasarudin berkata, jumlah keseluruhan rampasan termasuk kenderaan lebih RM1 juta dan kes diserahkan kepada Kawalselia Padi dan Beras Negeri Kedah untuk tindakan lanjut.
© New Straits Times Press (M) Bhd




