am@hmetro.com.my
Sandakan: Dua lagi pegawai sebuah pihak berkuasa tempatan (PBT) direman Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung kes menerima wang rasuah daripada kontraktor.
Kedua-dua suspek iaitu seorang wanita dan lelaki masing-masing berusia 34 dan 28 tahun itu direman selama empat hari bermula hari ini.
Perintah reman itu dikeluarkan Majistret Yong Ching Hong selepas permohonan dibuat SPRM di Mahkamah Majistret Sandakan, di sini.
Sumber SPRM memberitahu, kedua-dua pegawai terbabit ditahan di pejabat SPRM pada jam 7 malam tadi ketika dipanggil untuk memberikan keterangan.
Penahanan itu sekali gus menjadikan tujuh individu ditahan SPRM setakat ini berhubung kes menerima wang rasuah hampir RM200,000 sejak 2022 sehingga kini daripada kontraktor yang melaksanakan kerja di PBT berkenaan.
Pengarah SPRM Sabah, Datuk S Karunanithy ketika dihubungi mengesahkan penahanan dua individu itu yang disiasat mengikut Seksyen 17 (a) Akta SPRM 2009.
Semalam, lima individu termasuk jurutera, penolong jurutera dan bekas kakitangan PBT berusia antara 30 hingga 50 tahun direman kerana disyaki menerima rasuah daripada kontraktor.
Mereka dipercayai menerima rasuah secara pindahan wang ke akaun peribadi masing-masing daripada kontraktor dengan wang itu dipercayai sebagai balasan kerana membantu mendapatkan sebut harga dan tender membabitkan kerja di PBT berkenaan.
© New Straits Times Press (M) Bhd