am@hmetro.com.my
Shah Alam: Dua individu termasuk seorang ahli perniagaan dihadap ke Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas pertuduhan menggunakan kelengkapan komunikasi yang tidak diperakui serta radas yang menyebabkan gangguan telekomunikasi, tahun lalu.
Ling Siew Lung, 46, dan Look Voon How, 47, selaku Orang Kena Saman (OKS) masing-masing dituduh dengan dua pertuduhan mengaku tidak bersalah sejurus pertuduhan dibacakan secara berasingan di hadapan Hakim Nor Hasniah Ab Razak.
Voon How didakwa menggunakan kelengkapan komunikasi yang tidak diperakui iaitu satu set GSM Module tiada jenama, model dan nombor siri sebagaimana dikehendaki di bawah Peraturan-Peraturan Komunikasi dan Multimedia (Standard Teknik) 2000.
Pemandu e-hailing itu turut didakwa dengan sengaja menggunakan radas iaitu satu set GSM Module tiada jenama, model dan nombor siri sehingga menyebabkan gangguan besar iaitu gangguan elektromagnetik yang menjadikan perkhidmatan rangkaian sebuah syarikat telco di kawasan tersebut terganggu.
Sementara itu, Siew Lung yang juga ahli perniagaan pula didakwa bagi pertuduhan bersubahat dengan Voon How bagi semua pertuduhan berkenaan.
Mereka didakwa melakukan kesalahan itu di tempat letak kenderaan berhadapan sebuah restoran makanan segera di Subang Jaya.
Sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga tiga tahun atau denda tidak melebihi RM300,000 atau keduanya bagi setiap pertuduhan mengikutPeraturan 16 (3) dan 34 (5) Peraturan-Peraturan Komunikasi dan Multimedia (Standard Teknik) 2000.
Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) Fadhli Ab Wahab mencadangkan jaminan keseluruhan sebanyak RM10,000 bagi kedua-dua pertuduhan untuk setiap tertuduh bersama penjamin warga tempatan.
Peguam Kee Wei Lon dan Ee Gen You mewakili kedua-dua OKS tidak membantah cadangan jaminan itu dan menegaskan anak guam mereka tiada risiko melarikan diri.
“Kedua-duanya telah ditahan pada 19 November tahun lalu dan masing-masing mengambil saman sendiri pada 8 dan 21 Oktober lalu,” katanya.
Mahkamah kemudiannya cadangan pihak pendakwaan dengan sebutan semula kes pada 9 Disember depan.
Media pada minggu lalu melaporkan Siew Lung turut didakwa di Mahkamah Sesyen Petaling bersama seorang individu lain bagi kesalahan yang sama dan mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




