Dua lelaki ditahan bawa 56 tan beras seludup

Dua lelaki ditahan bawa 56 tan beras seludup

GURUN: Cawangan Risik Ibu Pejabat Risik Briged Utara, Pasukan Gerakan Am (PGA) Ulu Kinta berjaya menumpaskan cubaan menyeludup beras putih seberat 56.53 tan tanpa dokumen sah dalam satu operasi, di sini hari ini.

Dalam operasi kira-kira pukul 2 pagi ini, dua lelaki tempatan turut ditahan bersama sebuah lori treler yang membawa muatan beras bernilai RM226,120 dipercayai diseludup melalui sempadan di Pantai Timur untuk dibawa ke gudang pembungkusan semula.

Komander Briged Utara PGA, Senior Asisten Komisioner Shahrum Hashim berkata, kedua-dua suspek gagal mengemukakan sebarang dokumen berkaitan muatan yang dibawa, sekali gus membawa kepada rampasan dan tangkapan.

“Sebuah treler dianggarkan bernilai RM400,000 turut dirampas menjadikan nilai keseluruhan rampasan dianggarkan berjumlah RM626,120,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Shahrum berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 7(2) Akta Kawalselia Padi dan Beras 1994 (Akta 522) yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM15,000 atau penjara tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya.

“Bagi kesalahan kali kedua dan seterusnya, boleh dikenakan denda maksimum RM25,000 atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya jika sabit kesalahan,” katanya.

Tambah beliau, tiga saman turut dikeluarkan kepada pemandu lori treler atas pelbagai kesalahan trafik mengikut Akta Pengangkutan Jalan 1987.

“Saringan awal air kencing yang dijalankan terhadap kedua-dua suspek mendapati keputusan negatif bagi sebarang bahan terlarang.

“Kesemua rampasan termasuk lori treler dan muatan beras diserahkan kepada Kawalselia Padi dan Beras (KPB) Negeri Kedah untuk tindakan lanjut, manakala suspek ditahan untuk siasatan,” katanya.

Beliau berkata, PGA Briged Utara akan terus mempergiat risikan dan pemantauan terhadap mana-mana pihak yang mengendalikan beras import untuk dipasarkan ke dalam pasaran tempatan secara tidak sah.

“Kami juga tidak akan berkompromi dalam menangani sebarang bentuk penyelewengan terhadap barang keperluan harian demi menjaga kepentingan awam,” katanya. – UTUSAN

Scroll to Top