am@hmetro.com.my
Jitra: Dua lelaki tempatan ditahan ketika cuba menyeludup masuk 40 tan beras putih bernilai RM160,000 pada operasi dijalankan Cawangan Risik, Ibu Pejabat Risik Briged Utara, Pasukan Gerakan Am (PGA), Ahad lalu.
Komander Briged Utara PGA Ulu Kinta, Perak Senior Asisten Komisioner Shahrum Hashim berkata, beras putih itu disyaki diseludup masuk dari negara jiran melalui Rantau Panjang, Kelantan sebelum dibawa ke utara tanah air untuk proses selanjutnya.
“Dua lelaki tempatan itu berusia 30 dan 34 tahun. Mereka ditahan jam 4 petang di sekitar Jitra.
“Kita percaya beras itu hendak dibawa masuk ke kilang di Jitra untuk dibungkus semula,” katanya pada kenyataan, hari ini.
Kes disiasat mengikut Seksyen 7(2) Akta 522 Akta Kawalselia Padi dan Beras 1994, sabit kesalahan boleh didenda tidak lebih RM15,000 atau penjara tidak lebih dua tahun atau kedua-duanya sekali.
Beliau turut meminta orang ramai untuk terus menjadi mata dan telinga bagi menyalurkan maklumat kepada pihak berkuasa berkaitan aktiviti haram.
© New Straits Times Press (M) Bhd



