Dua lelaki edar dadah ditahan

Dua lelaki edar dadah ditahan

PETALING JAYA: Dua lelaki disyaki pengedar dadah ditahan bersama pelbagai jenis dadah bernilai RM74,380 dalam serbuan berasingan di Ampang di sini, semalam.

Kedua-dua suspek berusia 25 tahun dan 33 tahun itu ditahan anggota Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Wangsa Maju dalam serbuan kira-kira pukul 3 petang. 

Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Superintenden Ashari Abu Samah berkata, suspek pertama ditahan di tepi Jalan Ampang Ulu 3 dan merampas beg mengandungi 10 peket plastik berisi dadah.

Katanya, pemeriksaan mendapati terdapat jenis methamphetamine anggaran berat 2,012 gram (g), sebotol cecair disyaki methamphetamine berisi padu 300 mililiter (ml) dan sepeket plastik berisi ketulan mampat serta ceraian daun kering disyaki ganja anggaran berat 36g.

“Kesemua dadah yang dirampas itu dipercayai boleh menampung keperluan 4,060 penagih.

“Penahanan suspek pertama itu membawa kepada satu lagi serbuan di sebuah apartmen di Ampang pada 3.40 petang hari sama,” katanya dalam kenyataan hari ini. 

Menurutnya, polis merampas sebuah kereta Perodua Myvi dan sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) Toyota Estima milik suspek pertama.

Ujar beliau, siasatan mendapati kedua-dua suspek aktif melakukan aktiviti pengedaran dadah sekitar ibu negara sejak April tahun lalu. 

“Saringan air kencing dijalankan mendapati suspek  positif methamphetamine.

“Suspek pertama ditahan reman tujuh hari bermula hari ini sehingga 18 April manakala suspek kedua direman tiga hari sehingga Khamis ini,” ujar beliau. 

Tambahnya, kes disiasat mengikut Seksyen 39B dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952. – UTUSAN