harisfadli@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Kumpulan lelaki memakai topeng ski dan bersenjata api diburu polis berhubung pembunuhan dua individu di hadapan sebuah pusat beli-belah di Jalan Loke Yew, Cheras di sini, hari ini.
Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Mohamed Usuf Jan Mohamad berkata, pihaknya menerima laporan berhubung insiden itu pada 12.48 tengah malam.
“Dalam kejadian itu, sekumpulan lelaki bertopeng ski berwarna hitam melepaskan tembakan dari sebuah kenderaan jenis Perodua Alza.
“Dua lelaki warga tempatan berusia dalam lingkungan 40-an terkena tembakan dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurutnya, setakat ini motif kejadian masih dalam siasatan dan usaha mengenal pasti serta mengesan suspek sedang giat dijalankan.
Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.
“Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berhubung kejadian diminta menghubungi Hotline Polis Cheras di talian 03-9284 5050 / 5051.
“Orang ramai juga boleh menghubungi Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-2115 9999 atau mana-mana balai polis yang berdekatan,” katanya.
Terdahulu Harian Metro melaporkan dua lelaki mati ditembak dalam kejadian di hadapan sebuah pusat beli-belah di sini, hari ini.
© New Straits Times Press (M) Bhd




