LAHAD DATU: Dua lelaki maut selepas kereta Perodua Myvi dinaiki mereka terbabas sebelum terjunam ke dalam laut di Batu 7, Kampung Payang, di sini semalam.
Dalam kejadian kira-kira pukul 10.50 malam itu, kedua-dua mangsa yang dikenali sebagai Edwin, 25, dan mentuanya, Chan Wai Hou, 66, disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lahad Datu, Sumsoa Rashid berkata, sepasukan tujuh pegawai dan anggotanya ke lokasi kejadian selepas menerima maklumat awam.
Katanya, sebaik sahaja tiba di lokasi kejadian, didapati sebuah kereta terjunam ke dalam laut dan berdasarkan maklumat pemanggil, dua mangsa terlibat.
“Pasukan bomba menjalankan operasi mencari dan menyelamat dengan bantuan bot serta penyelam. Selaman pertama menarik seorang mangsa keluar dari kereta dan dibawa naik pada pukul 12.06 tengah malam.
“Tindakan seterusnya mengikat tali pada kereta tersebut untuk ditarik menggunakan sistem takal ke kawasan yang lebih cetek untuk mencari mangsa kedua.
“Selaman kedua dilakukan oleh pasukan bomba menemukan mangsa kedua kira-kira pulul 1.31 pagi,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurut beliau, kedua-dua mangsa disahkan meninggal dunia oleh Pegawai Perubatan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) di lokasi kejadian.
Mangsa diserahkan kepada polis untuk tindakan selanjutnya dan operasi tamat pada pukul 1.58 pagi. – UTUSAN




