Dua lelaki maut nahas 4 kenderaan di DUKE

Dua lelaki maut nahas 4 kenderaan di DUKE

mhafis@mediaprima.com.my

Kuala Lumpur: Dua lelaki maut dalam kemalangan membabitkan tiga lori dan sebuah kenderaan pikap di Kilometer (KM) 10.4 Lebuhraya Duta-Ulu Kelang (DUKE) dari arah Tol Ayer Panas menghala ke Ampang, petang tadi.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Mohd Zamzuri Mohd Isa berkata, kejadian berlaku jam 3.43 petang membabitkan tiga lori jenis Hicom dan Isuzu serta sebuah pikap Mitsubishi Triton.

Menurutnya, siasatan awal mendapati sebuah lori berhenti di lorong tengah akibat kerosakan enjin sebelum sebuah pikap dari arah belakang gagal mengawal kenderaan lalu merempuh bahagian belakang lori terbabit.

“Susulan itu, sebuah lagi lori berhenti bagi memberi bantuan, namun sebuah lori lain yang datang dari arah belakang dipercayai gagal mengawal kenderaan sebelum melanggar semua kenderaan di lokasi kejadian,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, akibat kemalangan itu, dua lelaki masing-masing berusia 52 tahun dan 53 tahun maut di lokasi kejadian.

“Mangsa adalah seorang lelaki tempatan yang juga pemandu lori serta pemandu pikap, seorang lelaki warga Bangladesh.

“Kedua-duanya berada di luar kenderaan ketika kejadian sebelum tersepit dan mengalami kecederaan parah di kepala dan badan,” katanya.

Katanya, tiga lagi individu iaitu dua lelaki berusia 43 dan 35 tahun serta seorang lelaki warga asing berusia 38 tahun cedera dan dihantar ke Hospital Kuala Lumpur untuk rawatan lanjut.

“Siasatan awal mendapati kemalangan dipercayai berpunca daripada kegagalan pemandu lori terakhir mengawal kenderaan sehingga melanggar kenderaan yang berhenti di lorong tengah.

“Ujian saringan pernafasan (EBA) terhadap pemandu terbabit didapati negatif, manakala ujian saringan air kencing masih dalam tindakan,” katanya.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Orang ramai yang mempunyai maklumat diminta menghubungi Balai Polis Trafik Tun H.S. Lee di talian 03-2071 9999 atau balai polis berhampiran bagi membantu siasatan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top