Dua lokap tahanan PATI di Johor Bahru diletak bawah PKPD

KUALA LUMPUR – Dua lokap tahanan pendatang asing tanpa izin (PATI) di Johor Bahru diletakkan dalam penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) mulai tengah malam ini.

Menteri Kanan (Pertahanan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob ketika mengumumkan perkara itu berkata, PKPD bagi Lokap Tahanan PATI Kompleks KDN Setia Tropika dan Lokap Tahanan PATI Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Bangunan Sultan Iskandar itu berkuatkuasa selama dua minggu sehingga 10 April ini.

Menurut beliau, Kementerian Kesihatan (KKM) hari ini telah melaporkan peningkatan kes positif Covid-19 secara mendadak di dua lokap berkenaan.

Katanya, sehingga kini KKM telah melakukan ujian saringan ke atas 82 Pati di Kompleks KDN Setia Tropika dan 39 daripadanya didapati positif Covid-19.

Begitu juga, sehingga Khamis lalu, sebanyak 51 kes positif telah dilaporkan di Lokap Tahanan Pati JIM Bangunan Sultan Iskandar, Johor Bahru hasil saringan ke atas tahanan yang bergejala.

“Berikutan itu, kerajaan mengambil keputusan untuk melaksanakan PKPD di dua lokap berkenaan 28 Mac sehingga 10 April ini.

“Pelaksanaan PKPD ini bagi memudahkan KKM melakukan saringan secara bersasar ke atas semua tahanan, kakitangan serta kontak rapat yang terlibat untuk memastikan tiada jangkitan dalam komuniti.

“SOP PKPD di pusat tahanan ini juga sama seperti diumumkan sebelum ini termasuk pergerakan keluar masuk dan lawatan oleh ahli keluarga tidak dibenarkan sama sekali,” katanya dalam kenyataan kepada media hari ini.

Sementara itu, Ismail Sabri turut mengumumkan penamatan PKPD bagi Kampung Lingkudau, Keningau, Sabah mulai esok.

Kata beliau, kerajaan sebelum ini telah melaksanakan PKPD di kampung itu yang dijadualkan tamat pada esok, 28 Mac 2021.

KKM katanya, telah melakukan 1,396 ujian saringan dan daripada jumlah itu secara kumulatif sebanyak 91 kes positif Covid-19 telah direkodkan.

KKM telah mengesahkan bahawa baki kes positif di lokaliti berkenaan menunjukkan trend penurunan, manakala kluster adalah terkawal serta kes terakhir yang dilaporkan pada 23 Mac lalu. – MalaysiaGazette