Dua maut dirempuh ketika keluar periksa kereta di lorong kanan

Dua maut dirempuh ketika keluar periksa kereta di lorong kanan

am@hmetro.com.my

Shah Alam: Dua individu maut selepas dirempuh sebuah kenderaan ketika keluar memeriksa kerosakan kereta mereka di Kilometer 11.9, Lebuh Raya Persekutuan, di sini pada pagi semalam.

Dalam kejadian pada jam 4.20 pagi di jalan menghala ke Klang, pemandu lelaki berusia 50-an dan penumpang wanita berusia 50-an menaiki Honda HRV maut di lokasi kejadian.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Ramsay Embol berkata, kejadian berpunca selepas kereta Honda HRV melanggar belakang kereta Proton Suprima dipandu wanita berusia 20-an di lorong paling kanan.

Menurutnya, ketiga-tiga mereka keluar daripada kenderaan dan berada di antara kedua-dua kenderaan terbabit di lorong paling kanan jalan.

“Ketika itu datang kereta Mercedes yang dipandu lelaki berusia 31 tahun tidak sempat mengelak lalu merempuh Proton Suprima dan tiga individu berkenaan.

“Pemandu Proton Suprima dan pemandu Mercedes mengalami kecederaan parah dan dirawat di Hospital Shah Alam,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Ramsay berkata, punca kematian adalah kecederaan kepala dan badan dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

“Saksi atau orang ramai yang mempunyai maklumat boleh menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah Shah Alam atau Inspektor Muhammad Najib Abdul Rahman di talian 019-7757354.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top