am@hmetro.com.my
Kemaman: Wanita bersama anak saudaranya maut, lima lagi nyaris lemas ketika mandi di Pantai Penunjuk Kijal, dekat sini, hari ini.
Mangsa berusia 39 tahun yang berasal dari Jitra, Kedah disahkan meninggal dunia pada 5.42 petang ketika menerima rawatan di Hospital Kemaman, manakala anak saudaranya, iaitu kanak-kanak perempuan berusia 12 tahun menghembuskan nafas terakhir di Klinik Kesihatan Kijal pada 5.23 petang.
Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintendan Mohd Razi Rosli ketika dihubungi mengesahkan kematian kedua-dua mangsa.
Katanya, mangsa mandi di pantai berkenaan bersama lima lagi ahli keluarga.
“Ketika sedang mandi, kesemua mangsa dipercayai ditarik ombak ke kawasan dalam yang menyebabkan hampir lemas.
“Mereka sempat diselamatkan oleh ahli keluarga dan orang ramai yang berada di tempat kejadian, namun dua daripadanya meninggal dunia ketika menerima rawatan,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




