Dua maut nahas selepas 'pusing' daripada pemeriksaan polis

am@hmetro.com.my

Gua Musang: Dua lelaki maut dalam kemalangan membabitkan tiga kenderaan di Jalan Gua Musang-Kuala Lipis, dekat Bukit Lanjut, di sini, jam 10.24 pagi tadi.

Kemalangan membabitkan kenderaan utiliti sukan (SUV) Proton X70, Toyota Hilux dan kenderaan polis.

Difahamkan, kedua-duanya adalah penumpang Proton X70 dengan seorang daripadanya mati di lokasi kemalangan, manakala seorang lagi ketika dirawat di Hospital Gua Musang.

Ketua Polis Daerah Gua Musang Superintendan Sik Choon Foo berkata, ketika pihaknya sedang melakukan pemeriksaan kenderaan di Kilometer 16, Jalan Gua Musang-Kuala Lipis apabila anggota bertugas mengesan sebuah Proton X70 dalam keadaan mencurigakan.

Katanya, SUV itu berpatah balik dan bergerak menghala ke bandar Gua Musang sebelum pihaknya mengekori kenderaan terbabit untuk diperiksa.

“Tiba di lokasi, Proton X70 itu dipercayai hilang kawalan lalu memasuki laluan bertentangan dan melanggar bahagian sisi belakang Toyota Hilux.

“SUV itu terbabas ke bahu jalan dan merempuh tiang lampu,” katanya dihubungi.

Menurut beliau, beberapa individu yang berada di dalam SUV terbabit turut cedera dan dibawa ke Hospital Gua Musang.

“Anggota kami serta pemandu Toyota Hilux tidak mengalami kecederaan. Siasatan masih dijalankan bagi mengenal pasti identiti kesemua individu terbabit selain mendapatkan gambaran lengkap kejadian.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. Saksi kejadian diminta tampil membantu siasatan,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top