am@hmetro.com.my
Bintulu: Dua lelaki maut tercampak keluar dari van yang terbabas di Kilometer 16 Lebuhraya Pan Borneo Sibu-Bintulu, di Tatau, di sini, hari ini.
Ketua Polis Daerah Tatau, Deputi Superintendan Jame Reis berkata, kedua-dua mangsa yang berusia 18 dan 25 tahun disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.
“Siasatan awal mendapati insiden berlaku pada 7.30 pagi apabila van yang sarat muatan barangan runcit itu dikatakan dalam perjalanan dari arah pekan Tatau menuju ke Bintulu.
“Ia hilang kawalan lalu terbabas, yang menyebabkan van berpusing beberapa kali sebelum terbalik,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Jame berkata, susulan itu mangsa tercampak dan barangan runcit bertaburan atas jalan.
Katanya mayat dihantar ke hospital dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.
Orang ramai yang mempunyai maklumat diminta menghubungi Inspektor Jeffery Jimbol atau Pejabat Polis Trafik Tatau di talian 086-584615.
© New Straits Times Press (M) Bhd