Dua motosikal kemalangan, seorang penunggang maut

Dua motosikal kemalangan, seorang penunggang maut

am@hmetro.com.my

Kota Tinggi : Seorang penunggang motosikal maut, manakala seorang lagi cedera selepas dua kenderaan itu terbabit dalam kemalangan di Jalan Felda Semenchu – Kota Tinggi, di sini, malam tadi.

Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintendan Yusof Othman berkata, kemalangan membabitkan penunggang motosikal jemis Yamaha 135LC iaitu seorang lelaki tempatan berusia 42 tahun dengan penunggang motosikal Yamaha Y15ZR iaitu remaja lelaki tempatan berusia 17 tahun.

“Kami menerima maklumat berhubung kemalangan maut ini pada jam 9.45 malam tadi.

“Kemalangan dipercayai berlaku apabila motosikal Yamaha 135LC melanggar Yamaha Y15ZR dari belakang sebelum Yamaha Y15ZR ditunggang pelajar sekolah itu terbabas ke tepi bahu jalan.

“Dalam kemalangan ini, penunggang Yamaha 135LC yang juga pengecat kereta parah di kepala dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian,” katanya menerusi kenyataan media, hari ini.

Beliau berkata, pelajar sekolah itu pula, dilaporkan cedera di bahagian muka serta kaki dan kini sedang mendapat rawatan di Hospital Kota Tinggi (HKT).

Menurut beliau, kes masih dalam siasatan pihak polis di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Pada masa sama, Yusof menasihatkan orang ramai supaya sentiasa peka dan mematuhi undang-undang serta peraturan-peraturan yang telah ditetapkan demi menjaga keselamatan bersama semasa di jalan raya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top