MINNEAPOLIS- Seorang individu melepaskan tembakan terhadap kanak-kanak sekolah yang menghadiri satu upacara keagamaan di sebuah gereja di Minneapolis, mengorbankan dua murid.
Kejadian berlaku pada Rabu itu turut mencederakan 17 orang dalam tragedi ganas terbaharu yang mengejutkan Amerika Syarikat (AS).
Ketua Polis bandar, Brian O’Hara berkata, penyerang melepaskan tembakan bertubi-tubi melalui tingkap Gereja Annunciation ketika puluhan murid menghadiri upacara keagamaan sempena minggu pertama persekolahan.
Gereja tersebut terletak bersebelahan dengan sebuah sekolah Katolik di Minneapolis, bandar terbesar di negeri Midwestern, Minnesota.
“Dua kanak-kanak masing-masing berusia lapan dan 10 tahun, terbunuh ketika mereka duduk di bangku gereja.
“Sementara itu 14 murid lain dan tiga warga emas turut cedera terkena tembakan,” katanya.
Penyerang dilapor melepaskan tembakan menggunakan raifal, senapang patah dan pistol sebelum membunuh diri di tempat letak kereta.
Polis berkata, kesemua senjata itu dibeli secara sah.
Seorang murid berusia 10 tahun berkata, dia terselamat kerana seorang rakannya melindunginya dengan tubuhnya.
“Saya hanya meniarap di bawah bangku, kemudian menutup kepala saya.
“Rakan saya, Victor, menyelamatkan saya kerana dia baring menutupi saya, tetapi dia terkena tembakan,” katanya kepada penyiar CBS.
Insiden tembakan beramai-ramai itu adalah yang terbaharu dalam rentetan serangan berdarah di sekolah-sekolah Amerika Syarikat, di mana usaha untuk mengehadkan akses mudah kepada senjata api berdepan kebuntuan politik.
Pengarah FBI, Kash Patel berkata, agensi itu menyiasat kejadian itu sebagai satu tindakan keganasan domestik dan jenayah kebencian yang menyasarkan penganut Katolik.
Patel mengenal pasti penembak sebagai Robin Westman, seorang lelaki yang lahir sebagai Robert Westman. – AFP
Â
Â