am@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Dua lagi individu dikesan menjadi dalang penipuan pelaburan emas membabitkan Siti Hajartul Haini Abd Hamid yang membantu wanita itu mencari mangsa.
Pengarah Advokasi Khidmat Guam, Dr Mahmud Jumaat yang mewakili mangsa berkata, hasil temu bual dengan mangsa, mereka mendedahkan selain wanita terbabit ada dua lagi individu bekerja sebagai guru dan kakitangan hospital terbabit dalam penipuan.
Menurutnya, lelaki dan wanita terbabit berperanan mencari mangsa dalam kalangan penjawat awam terdiri guru dan kakitangan hospital untuk melabur emas terbabit.
“Saya terkilan kerana dalam kes ini mangsa dalam kalangan guru dan kakitangan hospital di mana wang simpanan mereka lebur, malah ada yang terpaksa berhutang.
“Setakat ini dalam rekod saya mangsa tampil mencecah 100 orang membabitkan kerugian jutaan ringgit dan yakin ada lebih ramai lagi” katanya.
Mahmud yang juga dari Tetuan Emir Mahmud & Co berkata, pihaknya kini mengumpul mangsa untuk membuat laporan polis bagi membantu siasatan Polis Diraja Malaysia (PDRM).
“Perlu diingatkan scammer menggunakan modus operandi sama isitu keuntungan tak munasabah, untung dalam tempoh singkat dan letak tempoh lama untuk pemulangan hasil pelaburan,” katanya.
Terdahulu polis turut giat mengesan individu dikehendaki, Siti Hajartul Haini Abd Hamid bagi membantu siasatan penipuan jualan emas membabitkan kerugian RM7.03 juta.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf, berkata, 18 laporan diterima pihaknya sejak September lalu berhubung kegiatan disyaki didalangi wanita itu.
“Wanita tempatan berusia 37 tahun yang beralamat terakhir di sekitar Jitra, Kedah itu disyaki dalang kegiatan penipuan emas.
“Suspek dikatakan menjual barang kemas pada harga lebih rendah dari pasaran semasa iaitu sekitar RM150 hingga RM200 bagi satu gram emas,” katanya.
Ramli berkata, pihaknya sedang mengumpul maklumat dan dijangka pertambahan laporan polis.
“Kita nasihatkan kepada mangsa tampil membuat laporan polis supaya tindakan undang-undang boleh diambil,” katanya.
Sehubungan itu, orang ramai yang mengenali atau mempunyai maklumat berkaitan suspek diminta menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Mohd Zulhakimi Ab Hamid di talian 014-5390552 atau Inspektor Low Pei Yi di talian 012-5381907.
© New Straits Times Press (M) Bhd




