Dua pasangan kembar pilih UMPSA

Dua pasangan kembar pilih UMPSA

am@hmetro.com.my

Kuantan: Dua pasangan kembar seiras antara 885 pelajar baharu yang mendaftar untuk melanjutkan pengajian di Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan (UMPSA) kampus Gambang, di sini, kelmarin.

Bagi Nur Fatin Airesa Zaidi dan adik kembarnya, Nur Fatin Airena, 18, yang menetap di Taman Beserah, di sini mereka antara pelajar di bawah program Akademik Menara Gading Yayasan Al Sultan Abdullah, selama dua tahun.

Pasangan berkenaan memilih mengikuti program Diploma Sains Industri, Fakulti Teknologi Sains dan Industri.

Nur Fatin Airesa berkata, dia dan kembarnya amat bersyukur apabila impian untuk melanjutkan ke UMPSA menjadi kenyataan.

Katanya, universiti berkenaan menjadi pilihan pertama mereka.

“Kami bersyukur kerana berpeluang menyambung pengajian peringkat diploma dalam bidang yang kami inginkan walaupun terpaksa berpisah dengan keluarga, jarak rumah dengan UMPSA kampus Gambang, cuma kira-kira 30 kilometer (kg) sahaja.

“Di UMPSA, kami ditempatkan dalam satu bilik asrama tingkat tiga bersama dua rakan baharu, pengalaman kali pertama tinggal di asrama,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui di Majlis Pendaftaran Pelajar Baharu Asasi dan Diploma Sesi Akademik 2024/2025 di pekarangan Kediaman UMPSA kampus Gambang di sini.

Sementara itu, satu lagi pasangan kembar, Tong Yi Lin dan kakaknya, Yi Xuan berkata, mereka menolak tawaran kemasukan ke politeknik hanya kerana berminat menyambung pengajian Program Asasi Sains dan Teknologi di UMPSA.

“Kami berharap pemilihan UMPSA berakhir dengan kejayaan membanggakan suatu hari nanti, kami berminat dalam bidang Sains dan Teknologi,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top