am@hmetro.com.my
Teluk Intan: Dua pendatang asing tanpa izin (Pati) warga Indonesia masing-masing dihukum penjara dua tahun oleh Mahkamah Majistret, di sini hari ini, selepas mengaku bersalah atas pertuduhan menipu warga emas hingga membabitkan kerugian RM15,000, Januari lalu.
Hukuman penjara yang bermula dari tarikh tangkapan itu dijatuhkan Majistret Athirah Azman terhadap Rasyid Arsyad, 52, dan Mustari, 55, yang masing-masing membuat pengakuan bersalah selepas pertuduhan dibacakan secara bersama dalam bahasa Melayu.
Mengikut pertuduhan, mereka secara bersama dan mencapai niat bersama menipu warga Malaysia, Supandi Sidek, 77, dengan memperdayakan mangsa supaya mempercayai bahawa tertuduh memenangi wang loteri.
Ia secara curang mendorong mangsa menyerahkan wang tunai RM15,000 kepada tertuduh, yang mana mangsa tidak akan menyerahkannya sekiranya tidak diperdayakan.
Perbuatan itu dilakukan di sebuah premis kedai di Lorong Agenda 1, Medaniaga Lagenda, Hutan Melintang, dalam daerah Bagan Datuk sekitar jam 11 pagi, 19 Januari lalu.
Justeru mereka melakukan kesalahan yang boleh dihukum mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 34 Kanun sama, yang jika sabit kesalahan memperuntukkan hukuman penjara antara satu hingga 10 tahun dan sebatan dan denda.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nur Darwis Aghniya Halim Azizi manakala kedua-dua tertuduh diwakili peguam probono, Faustina Francis.
Berdasarkan fakta kes, mangsa yang tidak mengenali kedua-dua tertuduh diperdayakan apabila mereka meminta dia ke sebuah premis judi berlesen di Hutan Melintang dalam urusan menuntut kemenangan hadiah loteri RM200,000 menggunakan kad pengenalan mangsa.
Mangsa ditawarkan ganjaran RM10,000 sebagai balasan jika mengikut ke premis loteri sebelum tertuduh memperdayakan hingga mendorong mangsa menyerahkan wang tunai RM15,000 semasa dalam perjalanan menaiki kereta ke premis itu.
Mengikut fakta kes itu, kedua-dua tertuduh mendorong mangsa menyerahkan wang tunai atas alasan ibu saudara salah seorang mereka perlukan wang segera untuk rawatan sebelum dijanjikan bahawa RM15,000 itu akan dipulangkan kembali bersama ganjaran kemenangan loteri.
Salah seorang tertuduh menunjukkan sekeping cek yang kononnya hanya boleh ditunaikan pada keesokan harinya.
Di kamar mahkamah sama, Rasyid dan Mustari juga dijatuhkan hukuman lima bulan penjara bermula dari tarikh tangkapan selepas kedua-duanya turut mengaku bersalah bagi pertuduhan mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 iaitu kerana memasuki Malaysia tanpa memiliki pas sah.
© New Straits Times Press (M) Bhd




