Dua pemancing hilang sejak 1 Mac lalu

Dua pemancing hilang sejak 1 Mac lalu

am@hmetro.com.my

Shah Alam: Dua rakan hilang dilaporkan hilang selepas keluar memancing di perairan Pelabuhan Klang sejak 1 Mac lalu.

Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Negeri Selangor, Kepten Maritim Abdul Muhaimin Muhammad Salleh berkata, mangsa Muhammad Irwanshah Ismail, 33 bersama rakan yang ketika ini dikenali sebagai Halim dilaporkan keluar ke laut menggunakan bot gentian kaca dari Jeti Kampung Pendamar, Klang pada jam 12.30 tengah hari, 1 Mac lalu dan masih belum pulang.

Katanya, kehilangan mereka dilaporkan oleh adik mangsa yang hadir ke Ibu Pejabat Maritim Negeri Selangor.

“Berdasarkan laporan ahli keluarga mangsa, kali terakhir mangsa dihubungi adalah pada jam 8.30 malam, hari yang sama menerusi aplikasi WhatsApp oleh isteri mangsa.

“Mangsa memaklumkan mereka sedang berlindung di sebuah rumah pancing berikutan angin kencang, dengan jarak perjalanan kira-kira satu jam dari jeti Kampung Pendamar, namun lokasi tepat tidak dinyatakan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, sejurus menerima laporan, aset Bot PERKASA 36 diatur gerak ke kawasan rumah pancing di perairan Pulau Ketam bagi melaksanakan pencarian awal.

Katanya, Maritime Rescue Sub Centre (MRSC) Johor Bahru kemudiannya mengaktifkan operasi CARILAMAT pada jam 2.45 petang semalam dan ditangguhkan pada jam 8.30 malam berikutan cuaca buruk serta keadaan gelap.

“Pencarian dan disambung semula pada jam 7 pagi hari ini dan kita juga Pangkalan Hadapan CARILAMAT (PHC) di hadapan ibu pejabat bagi menyelaras gerak kerja operasi di sektor pencarian.

“Operasi diteruskan dengan pembabitan tambahan tiga aset daripada pelbagai agensi iaitu Pasukan Polis Marin (PPM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) serta Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), meliputi keluasan sektor pencarian seluas 66 batu nautika persegi.

“Kepada mana-mana individu yang mempunyai maklumat atau kehilangan ahli keluarga dikenali sebagai Halim, diminta menghubungi Maritim Negeri Selangor bagi membantu usaha pencarian,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top