am@hmetro.com.my
Kuala Terengganu: Dua penyelam skuba termasuk seorang warga China hilang ketika melakukan aktiviti penyelaman di kawasan Taman Laut Pasir Akar, Pulau Redang, di sini, hari ini.
Ketua Polis Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner, Azli Mohd Noor berkata, pihaknya menerima laporan kehilangan dua penyelam berkenaan, membabitkan lelaki tempatan berusia 31 tahun dari Kajang, Selangor dan seorang lelaki warga China berusia 42 tahun, kira-kira jam 12.45 tengah hari ini.
“Susulan kejadian itu, sebuah bot daripada Jabatan Perikanan dengan tujuh anggota penyelamat daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Taman Laut digerakkan untuk operasi pencarian, kira-kira jam 2 petang.
“Operasi mencari dan menyelamat (SAR) dua penyelam itu turut dibantu tujuh sukarelawan sebuah resort menggunakan dua bot milik mereka,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Difahamkan, penyelam yang hilang itu membabitkan penuntut dalam bidang sarjana dan pelajar penyelam.
Azli berkata, operasi SAR dilakukan di sekitar Pulau Bidong, Pulau Geluk, Pulau Tengkorak dan Pulau Pinang, Pulau Redang.
Katanya, operasi pencarian yang bermula kira-kira jam 2 petang terpaksa dihentikan kira-kira jam 6 petang tadi dan akan disambung pagi esok susulan keadaan ombak dan gelombang yang agak besar.
“Sehingga operasi ditamatkan, dua penyelam itu masih belum ditemui,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




