Dua per tiga penduduk dewasa divaksin

Dua per tiga penduduk dewasa divaksin

LONDON: Mengambil kira dua pertiga daripada penduduk dewasa di United Kingdom sudah menerima dos lengkap vaksin COVID-19, kerajaan hari ini berkata, pencapaian itu adalah penanda aras untuk melonggarkan sekatan mulai minggu depan.

Mengikut angka rasmi, sebanyak 35,155,767 dos kedua sudah diberikan sejak program vaksinasi secara besar-besaran dimulakan pada Disember lalu.

“Hampir lapan bulan sejak program vaksin kali pertama, dua pertiga kumpulan dewasa di UK sudah menerima kedua-dua dos.

“Terima kasih kepada semua yang tampil dan membantu individu lain menerima suntikan. Anda penyebab kami dapat mengurangkan sekatan secara berhati-hati minggu depan,” kata Perdana Menterinya, Boris Johnson di Twitter.

Mulai Isnin depan, kerajaan akan melonggarkan semula sekatan bagi perhimpunan awam di England dan membenarkan perniagaan seperti kelab malam dibuka semula.

Keputusan itu dibuat walaupun ada kumpulan saintis yang berpandangan terlalu cepat untuk kelonggaran diberikan, dalam situasi varian Delta sedang menular dengan begitu pantas.

Selain itu, peraturan bagi pemakaian pelitup muka turut berbeza di seluruh UK dan di England.

Walaupun kerajaan melonggarkan sekatan berhubung pemakaian pelitup muka di England, Datuk Bandar London, Sadiq Khan berkata, pemakaian masih diwajibkan bagi penumpang yang menggunakan pengangkutan awam London, termasuk bas dan kereta api bawah tanah.

“Saya berulang kali menjelaskan, pilihan paling selamat dan mudah bagi kerajaan ialah mengekalkan peraturan memakai pelitup muka, ketika menggunakan pengangkutan awam.

“Saya masih belum bersedia untuk meletakkan warga London yang sedang dalam proses pemulihan dalam risiko,” katanya dalam satu kenyataan. – AFP

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top