Dua polis ditahan, minta suapan sebagai balasan lepas pekerja rumah urut

Dua polis ditahan, minta suapan sebagai balasan lepas pekerja rumah urut

hafidzul@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Kuala Lumpur menahan reman pegawai dan anggota polis untuk siasatan berhubung suapan RM10,000 sebagai balasan melepaskan empat pekerja rumah urut yang disyaki menggunakan pas lawatan sosial bagi tujuan pekerjaan.

Perintah reman selama lima hari sehingga 17 April dikeluarkan Majistret Arunjothy M Selvaraju selepas membenarkan permohonan SPRM di Mahkamah Majistret Kuala Lumpur hari ini.

Menurut sumber, kedua-dua suspek lelaki berusia lingkungan 30-an ditahan kira-kira 11 malam Ahad dan 5 pagi hari ini di sekitar ibu negara dan di pejabat SPRM Kuala Lumpur.

“Siasatan awal mendapati kedua-dua mereka disyaki bersubahat melakukan perbuatan tersebut semalam, dan dipercayai telah menerima wang rasuah secara tunai berjumlah kira-kira RM7,000 pada pagi semalam, manakala baki sebanyak RM3,000 diserahkan pada malam hari sama sebelum mereka ditahan,” katanya.

Sementara itu, Pengarah SPRM Kuala Lumpur Mohamad Zakkuan Talib ketika dihubungi mengesahkan penahanan tersebut dan berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 17 (a) Akta SPRM 2009.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top