am@hmetro.com.my
Georgetown: Pemandu kenderaan utiliti sukan (SUV) yang dikaitkan dengan kemalangan meragut nyawa dua rakan di Lebuh Raya Tun Dr Lim Chong Eu, berhampiran susur ke Jambatan Pulau Pinang ditahan ketika hadir memberi keterangan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Timur Laut, tengah hari ini.
Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Abdul Rozak Muhammad berkata, lelaki berusia 23 tahun berasal dari Bukit Jambul itu hadir ke IPD berkenaan pada 1 tengah hari tadi.
“Ujian saringan air kencing yang dijalankan terhadap suspek mendapati negatif dadah dan dia akan direman esok bagi siasatan lanjut,” katanya di sini, hari ini.
Menurut Abdul Rozak, laporan bedah siasat di Jabatan Perubatan Forensik (Hospital Pulau Pinang (HPP) hari ini mendapati punca kematian bagi mangsa lelaki yang juga penunggang motosikal adalah akibat cedera parah di kepala dan leher.
“Manakala, kematian pembonceng iaitu mangsa wanita adalah kecederaan parah di kepala akibat kemalangan jalan raya,” katanya.
Sebelum ini media melaporkan mengenai kejadian yang menimpa mangsa iaitu Mohamad Nazhif Faris, 22, dan rakannya, Daniesha Hana Mohd Hairul, 20, selepas motosikal dinaiki mereka dirempuh sebuah kenderaan yang kemudiannya melarikan diri dari lokasi kejadian.
Abdul Rozak Muhammad berkata, siasatan mendapati kejadian berlaku kira-kira jam 4 pagi dan mangsa yang berasal dari Padang Serai, Kedah dalam perjalanan dari Pusat Bandaraya menghala ke Jambatan Pulau Pinang.
Akibat kemalangan itu, kedua-dua mangsa meninggal dunia di tempat kejadian dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
© New Straits Times Press (M) Bhd




