am@hmetro.com.my
Temerloh: Dua individu rentung selepas kereta dinaiki mereka terbakar dalam kemalangan membabitkan dua kenderaan berhampiran stesen minyak di Taman Tualang Indah, di sini, awal pagi tadi.
Dalam kejadian 12.57 tengah malam, kemalangan membabitkan Proton Preve dan Porsche Cayenne.
Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Zulfadli Zakaria berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 12.57 tengah malam, sebelum jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Mentakab tiba di lokasi sembilan minit kemudian.
“Proton Preve terbakar sepenuhnya menyebabkan dua mangsa ditemukan rentung di dalam kenderaan itu.
“Porsche Cayenne tidak terbakar, namun pemandunya dipercayai melarikan diri dari lokasi kejadian,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Menurutnya, seorang penumpang lelaki dewasa yang berada dalam Porsche Cayenne mengalami kecederaan dan menerima rawatan daripada petugas kesihatan.
Beliau berkata, sembilan anggota bersama satu jentera Fire Rescue Tender (FRT) dan satu unit Unit Perkhidmatan Perubatan Kecemasan (EMRS) digerakkan ke lokasi kejadian yang terletak kira-kira tujuh kilometer dari balai.
“Pasukan bomba menjalankan operasi pemadaman menggunakan satu aliran salur bantu mula daripada tangki jentera sebelum api dipadamkan sepenuhnya.
“Anggota kemudian menggunakan peralatan hidraulik untuk memotong struktur kenderaan bagi mengeluarkan mangsa.
“Kedua-dua mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi oleh petugas Kementerian Kesihatan Malaysia sebelum mayat diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut,” katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Temerloh, Asisten Komisioner Mohd Nasyim Bahron dijangka mengeluarkan kenyataan rasmi berhubung kejadian berkenaan dalam masa terdekat.
© New Straits Times Press (M) Bhd



