Dua sepakan penalti julang Negeri Sembilan

Dua sepakan penalti julang Negeri Sembilan

bhsukan@bh.com.my

SEREMBAN: Negeri Sembilan FC memulakan saingan Liga Perdana musim ini dengan langkah kanan apabila menewaskan Johor Darul Ta’zim II (JDT II) 2-1 di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, sebentar tadi.

Kapten pasukan, Mohamad Zaquan Adha Abd Radzak meletakkan tuan rumah di depan selepas menyempurnakan sepakan penalti pada minit ke-23.

Sepakan itu dianugerahkan pengadil selepas Beom Geum Bae yang melakukan gerakan solo dijatuhkan oleh penjaga gol pelawat, T Shaheeswaran.

Pelawat yang tampil dengan membawa semangat kejayaan pasukan abang, JDT yang menjulang kejuaraan Piala Sultan Ahmad Shah semalam, begitupun dilihat tidak berputus asa dengan memberikan tentangan sengit dengan mengasak ke kawasan kubu tuan rumah.

Usaha mereka itu akhirnya membuahkan hasil apabila pemain tengah, Mohamad Rafiefikri Mohd Rosman menjaringkan gol penyamaan JDT II menerusi sepakan lambung cantik dari jarak kira-kira 25 meter yang menewaskan Mohamad Kaharuddin Abdul Rahman pada hujung babak pertama.

Bersambung babak kedua, Negeri Sembilan dihadiahkan sepakan penalti kedua selepas Rafael Gomes dijatuhkan pertahanan pelawat pada minit ke-50.

Thierry Akono yang diberi tugas mengambil sepakan itu mudah menjaringkan gol kedua tuan rumah pada minit ke-51.

Negeri Sembilan hampir menambah satu lagi gol pada minit ke-61, apabila percubaan pemain gantian, A Selvan, dari bahagian tepi diselamatkan pertahanan pelawat walaupun Shaheeswaran sudah tertewas.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top