PETALING JAYA: Dua individu dipercayai terlibat dalam kes ‘culik palsu’ direman selama 14 hari bagi siasatan lanjut.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk M Kumar berkata, reman terhadap kedua-dua suspek termasuk mangsa yang didakwa diculik, diperoleh di Mahkamah Majistret Johor Bahru, hari ini.
“Kedua-dua suspek direman selama 14 hari dan mereka akan dibawa ke Sarawak bagi melengkapkan siasatan kes.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 3(1) Akta Penculikan 1961 kerana menculik untuk wang tebusan,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Media semalam melaporkan, Polis Daerah Pandawan menerima laporan pada 19 Jun lalu daripada seorang wanita tempatan berusia 43 tahun mendakwa anak perempuannya berusia 20-an diculik individu tidak dikenali yang meminta wang tebusan RM18,000.
Kumar dilaporkan berkata, pasukan khas membabitkan JSJ Bukit Aman dengan bantuan JSJ Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor dan JSJ IPK Sarawak ditubuhkan bagi menjalankan operasi menyelamat pada kelmarin dan semalam.
Operasi itu menumpukan kawasan sekitar Johor Bahru, iaitu lokasi terakhir mangsa dikesan.
Hasil maklumat dan risikan, pasukan khas berjaya menyelamatkan mangsa di sebuah rumah di Taman Perniagaan Setia, Johor Bahru, kira-kira 3.30 petang, semalam.
“Seorang lelaki tempatan berusia 27 tahun turut ditahan di lokasi sama, manakala polis merampas empat telefon bimbit bagi siasatan lanjut.
“Semakan rekod mendapati lelaki itu mempunyai tiga rekod tangkapan iaitu dua kes dadah dan satu kes jenayah,” katanya.
Kumar turut dilaporkan berkata, siasatan awal polis mendapati naratif kejadian culik oleh mangsa meragukan menyebabkan wanita berusia 20-an itu turut ditahan bagi membantu siasatan.- UTUSAN




