Dua suspek ragut rantai emas diburu

Share on facebook
Share on twitter
Share on email
Share on whatsapp

Kuala Lumpur: Dua suspek lelaki kini diburu polis atas kesalahan meragut rantai emas seorang wanita di sebuah farmasi di Jalan Gombak, Setapak di sini, malam kelmarin.

Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Superintendan Rajab Ahad Ismail, berkata, dalam kejadian kira-kira jam 8.47 malam itu, mangsa sedang membuat pembayaran di kaunter farmasi itu didatangi seorang lelaki dari arah belakang menarik rantai emas dipakai wanita itu.

Beliau berkata, suspek telah melarikan dua rantai emas dipakai mangsa yang dianggarkan bernilai RM10,000 sebelum menumbuk muka wanita itu dan melarikan diri.

“Semakan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di tempat kejadian telah merakam pergerakan dua lelaki yang tidak dapat dipastikan bangsanya berikutan suspek memakai pelitup muka.

“Siasatan mendapati mereka melarikan diri dengan sebuah kenderaan yang menggunakan nombor pendaftaran palsu bagi tujuan mengelirukan pihak berkuasa,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, usaha mengesan suspek sedang giat dijalankan dan kes disiasat mengikut Seksyen 392 Kanun Keseksaan kerana merompak.

“Kita meminta orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berhubung kes ini segera menyalurkannya kepada pegawai penyiasat kanan, Asisten Superintendan Shahrizal Saleh di talian 017-7134705.

“Maklumat juga boleh disalurkan kepada pegawai penyiasat, Inspektor Aisyah Mohd Nor di talian 013- 9338214 atau Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-21159999 atau mana-mana balai polis yang berdekatan,” katanya.

ZA137 Malay News

National Desk