Kuala Lumpur: Dua pemain perseorangan lelaki negara, Eogene Ewe dan Jan Jireh Lee bakal berentap di pentas final Kejohanan Badminton Cabaran Antarabangsa Malaysia 2025 selepas masing-masing melakar kemenanganpada aksi separuh akhir di Arena Badminton Perak, hari ini.
Eogene, 20, yang juga juara Terbuka Slovenia terlebih dahulu melangkah ke final apabila menewaskan rakan senegara, Chuah Kim Sheng yang diletakkan sebagai pilihan ke-11.
Dia bermula garang dengan kemenangan 15-10 pada set pertama, sebelum Kim Sheng bangkit menyamakan kedudukan menerusi set kedua 15-11.
Namun, Eogene tidak memberi ruang pada set penentuan apabila menutup aksi dengan kemenangan mudah 15-5 untuk mengesahkan tiket ke final dalam tempoh 40 minit.
Kejayaan itu seolah-olah menyuntik semangat buat Jan Jireh, 21, yang sebelum ini mencipta kejutan menyingkirkan pilihan utama dari India, Manraj Singh, di suku akhir.
Berbekalkan keyakinan tinggi, pemain kelahiran Kedah itu tampil lebih meyakinkan apabila menundukkan seorang lagi pilihan dari India, Mithun Manjunath yang berada di ranking kelapan kejohanan.
Jan Jireh menamatkan cabaran lawannya dengan kemenangan straight set 18-16, 15-3.
© New Straits Times Press (M) Bhd