Dua wanita dikompaun kerana rentas daerah

Dua wanita dikompaun kerana rentas daerah

bhnews@bh.com.my

GEORGETOWN: Dua wanita menangis ketika dikompaun selepas didapati merentas daerah untuk membeli barangan kemas dalam pemeriksaan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) di Kompleks Bukit Jambul di sini, hari ini.

Antara alasan lain mereka ialah datang dari Barat Daya bagi membaiki telefon bimbit di sebuah premis di kompleks berkenaan.

Ketua Polis Daerah Timur Laut Asisten Komisioner Soffian Santong, berkata alasan itu tidak berasas kerana mereka tidak sepatutnya merentas daerah bagi membeli barangan bukan keperluan pada masa ini.

Ada pengunjung yang datang dari Barat Daya dan mengaku tidak tahu bahawa kompleks terbabit terletak di Timur Laut.

“Ia tidak sepatutnya berlaku kerana Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sudah lebih setahun dikuatkuasakan dan orang ramai sepatutnya menjalani kehidupan norma baharu dengan mengambil tahu sempadan daerah masing-masing,” katanya kepada media di kompleks berkenaan.

Operasi bersepadu yang dijalankan Polis Diraja Malaysia (PDRM) itu turut membabitkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) dan beberapa agensi berkaitan.

Mengulas lanjut, Soffian berkata, tinjauan pematuhan terhadap premis di kompleks berkenaan adalah memuaskan dan mengikut kepada SOP yang ditetapkan.

“Semua pekerja di kompleks ini mengimbas aplikasi MySejahtera sebelum memasuki premis masing-masing, memakai pelitup muka dan mengambil suhu.

“Tujuan pemeriksaan ini bukan bagi mencari kesalahan semata-mata, tetapi lebih kepada mahu mendidik serta memastikan orang ramai berdisiplin dalam menjalani norma baharu,” katanya.

Menurut Soffian, 95 kompaun pelbagai kesalahan dikeluarkan sejak PKP dikuatkuasakan di Timur Laut, 10 Mei lalu hingga semalam.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top