am@hmetro.com.my
Kota Bharu: Dua beradik wanita disambung reman selama tiga hari bermula esok selepas dipercayai terbabit dalam kes melakukan rusuhan di Pasar Awam Melor di sini, Khamis lalu.
Perintah sambung reman sehingga Khamis ini dikeluarkan oleh Majistret Amirul Asyraf Abdul Rashid terhadap kedua-dua wanita berusia 28 dan 30 tahun.
Ia bagi membolehkan siasatan lanjut mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan kerana merusuh secara beramai-ramai di tempat awam sehingga video pergaduhan itu tular di media sosial Facebook.
Terdahulu, media melaporkan, seramai 12 individu ditahan bagi membantu siasatan berhubung kes rusuhan di Pasar Awam Melor di sini, pada Khamis lalu.
Kejadian jam 2.30 petang itu menyebabkan seorang remaja berusia 19 tahun mengalami kecederaan pada seluruh bahagian badan.
Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Mohd Rosdi Daud berkata, tangkapan dijalankan selepas mangsa membuat laporan yang mendakwa dirinya dikasari seorang wanita berusia dalam lingkungan 20-an.
Susulan itu, seramai 12 individu berusia lingkungan awal 20-an hingga lewat 50-an direman selama empat hari bagi membantu siasatan berhubung kes pergaduhan dan rusuhan di Pasar Awam Melor di sini, Khamis lalu.
© New Straits Times Press (M) Bhd




