am@hmetro.com.my
Kuala Terengganu: Pembantu kedai makan dan pembantu rumah masing-masing didenda RM3,000 oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini kerana membenarkan akaun bank mereka digunakan sebagai ‘keldai akaun’ bagi menerima wang hasil jenayah.
Keputusan itu dibuat Majistret Noor Mazrinie Mahmood selepas tertuduh, Syamimi Zuhairah Jesni, dan Maznah Attan, mengaku bersalah terhadap pertuduhan berkenaan.
Syamimi Zuhairah didenda RM3,000 atau penjara lima bulan jika gagal membayar denda berkenaan.
Mengikut pertuduhan, pembantu kedai makan itu membenarkan akaunnya digunakan untuk menerima wang hasil jenayah berjumlah RM5,000 yang dimasukkan ke dalam akaun miliknya pada 2021.
Seorang lagi tertuduh, Maznah yang juga pembantu rumah didakwa membenarkan akaunnya digunakan untuk menerima wang hasil jenayah berjumlah keseluruhan RM3,400 milik seorang wanita.
Maznah yang berdepan tiga pertuduhan didakwa melakukan kesalahan itu antara 10 Disember 2020 hingga 11 Disember 2020.
Mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman denda RM1,000 bagi setiap pertuduhan dan penjara sebulan bagi setiap satu pertuduhan jika gagal membayar denda berkenaan.
Kedua-dua kes didakwa mengikut Seksyen 411 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga lima tahun, denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Nur Anith Nabilah Rusli, manakala kedua-dua tertuduh diwakili peguam Azlina Jaafar daripada Yayasan Biro Guaman Kebangsaan.
© New Straits Times Press (M) Bhd




