am@hmetro.com.my
Betong: Dua wanita maut manakala lelaki parah apabila kenderaan utiliti sukan (SUV) dinaiki hilang kawalan, lalu terbabas berhampiran di Lebuhraya Pan Borneo Betong-Sarikei berhampiran Kampung Melayu Ulu, hari ini.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak berkata, sepasukan anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Betong bergerak ke lokasi sejurus menerima panggilan kecemasan berhubung insiden pada 5.58 petang.
Menurutnya, sebaik anggota tiba, didapati kenderaan terbabas di bahu jalan dengan tiga mangsa tersepit dalam kenderaan.
“Pemeriksaan pasukan perubatan KKM mengesahkan dua wanita berusia 20-an dan 40-an meninggal dunia di lokasi kejadian, namun identiti lengkap belum dikenal pasti.
“Seorang lagi mangsa iaitu lelaki 40-an yang juga pemandu kenderaan pula cedera parah dan dihantar ke Hospital Betong bagi mendapatkan rawatan lanjut,” katanya.
Menurutnya lagi, bomba mengambil masa kira-kira satu jam bagi mengeluarkan ketiga-tiga mangsa yang tersepit.
“Semua mangsa berjaya dikeluarkan daripada kereta yang remuk pada 7.15 malam dan mayat diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut,” katanya.
Ā© New Straits Times Press (M) Bhd