GUA MUSANG: Dua lelaki dipercayai warga asing maut selepas kenderaan utiliti sukan (SUV) dinaiki bersama tujuh lagi individu yang belum dikenal pasti identiti mereka terbabas ketika dikejar kenderaan polis di Kilometer 16, Jalan Gua Musang-Kuala Lipis dekat Bukit Lanjut di sini hari ini.
Dalam kejadian kira-kira pukul 10.24 pagi itu, salah seorang mangsa belum dikenal pasti identiti meninggal dunia di lokasi kejadian manakala seorang lagi warga asing menghembuskan nafas terakhir di Hospital Gua Musang di sini.
Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintendan Sik Choon Foo berkata, anggota polis pada awalnya mengesan sebuah SUV jenis Proton X70 dipandu dalam keadaan mencurigakan sebelum kenderaan itu berpatah balik dan bergerak menghala ke Bandar Gua Musang.
“Anggota polis kemudian mengekori SUV itu untuk menjalankan pemeriksaan. Ketika tiba di lokasi kejadian, kenderaan terbabit dipercayai hilang kawalan lalu memasuki laluan bertentangan sebelum merempuh bahagian sisi belakang sebuah trak pikap Toyota Hilux.
“Keadaan itu menyebabkan SUV berkenaan terbabas ke bahu jalan dan merempuh sebatang tiang lampu,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Choon Foo menberitahu, seorang lelaki warga asing yang merupakan penumpang kenderaan itu meninggal dunia di lokasi kejadian manakala seorang lagi mangsa maut ketika menerima rawatan di Hospital Gua Musang.
Katanya, pemandu Proton X70 itu mengalami kecederaan parah pada bahagian kepala dan siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengenal pasti identiti kesemua individu yang terlibat dalam nahas tersebut.
Ujarnya, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987, Seksyen 186 Kanun Keseksaan selain Seksyen 55E dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.-UTUSAN

