Dua warga emas maut, 9 cedera nahas 5 kenderaan

Dua warga emas maut, 9 cedera nahas 5 kenderaan

KOTA TINGGI: Dua lelaki warga emas maut manakala sembilan lagi mangsa cedera dalam kemalangan membabitkan lima buah kenderaan berhampiran Felda Pasak, Jalan Desaru–Kota Tinggi, di sini hari ini.

Dalam kejadian itu mangsa yang maut merupakan penumpang dan pemandu kereta Toyota Corolla berusia 69 dan 74 tahun.

Komander Operasi Balai Bomba Penyelamat (BBP) Kota Tinggi, Pegawai Bomba Kanan II Muhamad Othman berkata, seramai enam anggota dikejarkan ke lokasi kejadian selepas menerima panggilan kecemasan kemalangan terbabit pada pukul 4.17 petang.

“Kemalangan melibatkan lima kenderaan iaitu Toyota Corolla, Perodua Axia, lori Hino, Proton Saga dan Perodua Bezza.

“Dua mangsa warga emas tersepit dalam Toyota Corolla dan disahkan meninggal dunia di lokasi oleh petugas Kementerian Kesihatan (KKM).

“Sembilan lagi mangsa termasuk seorang bayi perempuan berusia tujuh bulan mengalami kecederaan ringan dan menerima rawatan awal daripada pasukan KKM,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Katanya, pasukan penyelamat bertindak menggunakan peralatan khas bagi mengeluarkan mangsa yang tersepit.

Tambahnya, mayat mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut dan operasi ditamatkan sepenuhnya pada pukul 5.47 petang. – UTUSAN

Scroll to Top