PETALING JAYA: Dua penjenayah buruan warga India yang dipercayai terlibat dalam insiden letupan landasan kereta api di Patiala, Punjab, India pada 27 April lalu telah dihantar pulang ke negara itu.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk M. Kumar berkata, tindakan tersebut dilaksanakan selepas pihaknya menerima permohonan bantuan daripada pihak berkuasa India bagi mengesan dan menahan kedua-dua suspek terbabit.
Menurut beliau, kedua-dua individu itu ditahan hasil kerjasama risikan serta operasi rentas sempadan sebelum diserahkan kepada pihak berkuasa India untuk tindakan undang-undang selanjutnya.
“Kerjasama ini mencerminkan komitmen berterusan Malaysia dalam membanteras jenayah rentas sempadan serta memperkukuh hubungan keselamatan antarabangsa dengan negara sahabat,” katanya dalam kenyataan malam ini.
Dalam masa sama, Polis Diraja Malaysia (PDRM) menegaskan bahawa Malaysia tidak akan menjadi tempat perlindungan kepada mana-mana individu yang melarikan diri daripada proses keadilan di negara asal mereka.-UTUSAN




