Dua warga Myanmar dituduh seludup 11 migran senegara

Dua warga Myanmar dituduh seludup 11 migran senegara

am@hmetro.com.my

Seremban: Dua lelaki warga Myanmar didakwa di Mahkamah Sesyen, di sini, hari ini atas pertuduhan menyeludup 11 migran senegara, awal bulan ini.

Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh, Lwin Ko Ko, 42, dan Min Zaw, 41, selepas pertuduhan dibacakan dalam Bahasa Malaysia di hadapan Hakim Datin Surita Budin.

Mengikut pertuduhan, kedua-dua tertuduh didakwa menjalankan penyeludupan migran 11 warga Myanmar kira-kira jam 10.55 pagi di Persiaran Lavender Heights, di sini, 5 Mac lalu.

Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 26A Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (Atipsom) 2007 dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Jika disabitkan, boleh dipenjara tidak lebih 20 tahun dan boleh dikenakan denda atau kedua-duanya.

Sementara itu, di kamar sama, pemilik syarikat pengangkutan, S S Murugan, 52, didakwa atas pertuduhan terbabit dalam pengangkutan tujuh warga Myanmar di Jalan Nusa Intan, Paroi, di sini, kira-kira jam 10.30 pagi 5 Mac lalu.

Justeru, tertuduh didakwa melakukan kesalahan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 26J Atipsom 2007, jika disabitkan boleh dipenjara tidak lebih lima tahun dan denda maksimum RM250,000 atau kedua-duanya.

Timbalan Pendakwa Raya Nurul Balkis Zunaidi tidak menawarkan sebarang jaminan kepada ketiga-tiga tertuduh kerana kes Atipsom 2007 tidak boleh dijamin sebelum mahkamah menetapkan tiada jaminan ditawarkan.

S Murugan diwakili peguam Datuk Mandave Singh Gill manakala dua tertuduh warga Myanmar tidak diwakili peguam.

Mahkamah menetapkan tarikh 24 April sebagai tarikh sebutan semula.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top